Tambahan kuota BUDI95: Kerajaan perlu bantu pemandu e-hailing luar bandar – NeHDA

Iklan
Zabidi

ALOR SETAR – Persatuan Pemandu e-Hailing utara (NeHDA) menyambut baik pengumuman penambahan kuota subsidi petrol BUDI95 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Pengerusinya, Zabidi Bahador berkata, langkah kerajaan menaikkan kuota subsidi daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan bagi perjalanan sehingga 5,000 kilometer jelas menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pemandu e-hailing, terutamanya golongan muda dan B40.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaubagaimanapun kerajaan digesa agar meneliti semula mekanisme pengiraan subsidi yang disifatkan tidak menyeluruh kepada pemandu luar bandar.

“Sebagai contoh, seorang pemandu menerima tempahan dari Alor Setar ke Kuala Nerang sejauh 25 kilometer. Selepas menurunkan penumpang, tiada tempahan diterima untuk perjalanan balik, menyebabkan pemandu perlu berpatah balik ke Alor Setar untuk mendapatkan tugasan seterusnya.

Iklan

“Jumlah perjalanan sebenar adalah 50 kilometer, tetapi sistem hanya merekod 25 kilometer sebagai layak subsidi. Jika situasi ini berlaku tiga hingga empat kali sehari, penggunaan petrol boleh mencecah 130 kilometer, namun hanya separuh daripadanya diambil kira,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, sistem pengiraan jarak yang digunakan oleh syarikat pengendali e-hailing (eHO) ketika ini hanya mengambil kira jarak antara lokasi pengambilan penumpang hingga ke destinasi, tanpa memasukkan jarak perjalanan pemandu ke lokasi penumpang dan perjalanan pulang ke kawasan permintaan tinggi selepas menghantar penumpang

Iklan

Dakwanya, keadaan ini menyebabkan ramai pemandu luar bandar tidak menikmati kuota subsidi tambahan secara adil, malah terpaksa menanggung kos petrol yang tinggi tanpa pampasan sewajarnya.

Beliau turut mendakwa data yang dibekalkan oleh syarikat eHO kepada kerajaan tidak mencerminkan realiti sebenar operasi pemandu di lapangan, khususnya mereka yang beroperasi di kawasan luar bandar yang memerlukan pergerakan lebih jauh antara satu tugasan ke tugasan lain.

“Kerajaan juga perlu memastikan sistem eHO ditambah baik untuk merekod keseluruhan perjalanan berkaitan kerja, termasuk jarak ke lokasi pick-up dan perjalanan pulang ke zon permintaan tinggi.

“Paling penting, wakil pemandu dan persatuan seperti NeHDA mesti dilibatkan dalam pembangunan dasar subsidi agar suara lapangan tidak dipinggirkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, NeHDA menggesa kerajaan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak semula mekanisme pengiraan subsidi agar lebih menyeluruh dan adil kepada semua pemandu, tanpa mengira lokasi operasi.

Tambahnya, kuota subsidi juga wajar mengambil kira zon operasi dan bukan hanya berdasarkan jumlah kilometer yang direkod secara separa oleh sistem sedia ada.