Azmir Saifuddin dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas

Iklan
Azmir Saifuddin Mutalib

PEBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas bagi tempoh 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.

Dalam kenyataannya, Azmir menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi FINAS serta Ahli-Ahli Perbadanan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan komitmen untuk meneruskan agenda pembaharuan institusi dan pengukuhan keupayaan teknikal Finas.

“Ini adalah wajah baharu Finas. Melalui pindaan Akta Finas dan penambahbaikan Dasar Perfileman Negara, Finas akan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra industri.

Iklan

"Finas komited merakyatkan industri filem serta meletakkan Malaysia sebagai pemain kreatif serantau yang dinamik, inklusif dan diiktiraf di persada global," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, fokus utama penggal kedua ini termasuk Pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) bagi memperkukuh tadbir urus dan kebajikan tenaga kerja kreatif, serta pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035 sebagai pelan pembangunan 10 tahun untuk menjadikan Malaysia hab industri kreatif ASEAN.

Iklan

Pendekatan itu merangkumi pemerkasaan monetisasi harta intelek, pembangunan produser dan showrunner tempatan, perluasan pasaran eksport, kerjasama pembiayaan serta penerbitan bersama antarabangsa, dan kerjasama strategik bersama sektor pendidikan.

Beliau turut memaklumkan pelaksanaan Insentif Galakan Industri Filem bernilai RM110 juta, termasuk RM10 juta bagi kandungan berteras kenegaraan, serta kesinambungan Dana Belia Kreatif MADANI untuk membentuk generasi pembikin kandungan muda yang berilmu dan berjiwa patriotik.

Dalam penggal terdahulu, Finas berjaya menyokong pemulihan ekosistem pasca pandemik dan menstabilkan operasi pawagam melalui libat urus berstruktur.

Kutipan filem tempatan terus mencatat prestasi positif sehingga RM180 juta setakat Oktober 2025, tiga tahun berturut-turut mendahului kutipan filem Hollywood di pasaran domestik, manakala karya tempatan seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown dan Imam menerima pengiktirafan antarabangsa.

Azmir turut menegaskan bahawa Finas komited ke arah perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra industri. Fasiliti teknologi di Hulu Kelang akan diperkasa sebagai pusat kecemerlangan produksi, manakala pembangunan kandungan di Sabah dan Sarawak akan diperluas menerusi inisiatif Borneo Content bagi menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia di pentas antarabangsa.