PELAKON dan penerbit terkenal, Datuk Eizlan Yusof selamat menyambut kelahiran anak kelimanya, sekali gus menambah seri dalam rumah tangga yang dibina bersama isteri tercinta.
Berita gembira itu dikongsikan Eizlan, 54, di laman sosial Instagram sekali gus menzahirkan rasa kesyukuran atas pengorbanan isterinya, Datin Sasha Boudville dalam melahirkan zuriat mereka.
Menerusi perkongsian berkenaan, Eizlan turut memuat naik kapsyen penuh emosi sebagai tanda syukur atas anugerah tidak ternilai itu.
“Assalamualaikum Zareen Rosa. Alhamdulillah & syukur to ALLAH SWT atas segala limpah kurnia-NYA.
"Thank you yayang @sashaboudville,” tulisnya ringkas namun sarat makna.
Perkongsian itu pantas dibanjiri ucapan tahniah serta doa daripada rakan selebriti dan peminat yang tumpang gembira dengan kehadiran ahli baharu dalam keluarga Eizlan.
Untuk rekod, Eizlan dan Sasha mendirikan rumah tangga pada tahun 2019 dan dikurniakan seorang puteri Zaelynn Rosa yang kini berusia lima tahun.
Sebelum itu, Eizlan memiliki tiga cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya dengan Vie Shantie Haroon Khan. - Sinarplus