Buruh binaan maut nahas, kereta bertembung BMW

Iklan
Keadaan kereta Proton Wira dipandu mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah BMW di Jalan Bukit Kor, Marang pada Khamis.

MARANG - Seorang buruh binaan maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Marang - Bukit Payong dekat Bukit Kor, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Fadhil Ahmad, 34, yang memandu kereta jenis Proton Wira, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghala ke Bukit Payong untuk pulang ke rumahnya di Kampung Wakaf Dua.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW yang dipandu lelaki berusia 58 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 26 tahun.

Iklan

"Pemandu dan penumpang BMW berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan kerja di Marang.

Iklan

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Sofian turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas.

"Mana-mana saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Syafiq Amysyar Zaharuddin di talian 09-6182222," ujarnya.