Saksi sifatkan kawan rapat Zara Qairina gemar putar belit cerita

Iklan
Mohd Syarulnizam

KOTA KINABALU - Saksi ke-39 inkues kematian Zara Qairina Mahathir menyifatkan seorang pelajar junior yang juga rakan kepada remaja tersebut sebagai seorang yang gemar memutar belit cerita.

Keterangan itu disampaikan saksi kanak-kanak ke-30 secara in camera di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Iklan
Iklan

Peguam, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi merupakan pelajar senior yang tinggal di blok asrama berasingan daripada Zara Qairina.

"Saksi tidak mengenali Zara dan cuma mengenali seorang pelajar junior yang merupakan kawan rapat kepada Zara.

Iklan

"Saksi menyifatkan pelajar junior tersebut sebagai peramah namun suka memutar belit cerita, dan pernah berlaku salah faham apabila pelajar itu menuduh saksi bersikap sombong dengan pelajar junior," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Khamis.

Menurutnya, saksi memberitahu pernah bersemuka dengan pelajar junior tersebut di dalam kelas pada awal Mei lalu untuk bertanya jika mereka mempunyai masalah.

Iklan

"Pelajar junior itu menafikan dan mengangkat sumpah di hadapan rakan-rakan bahawa tiada isu antara mereka. Saksi perasan pelajar itu menangis namun menegaskan tiada sentuhan atau kekerasan berlaku.

"Saksi menyatakan bahawa dia tahu pelajar-pelajar junior kadang-kadang menyebut namanya kerana dia bersikap tegas dan garang, terutamanya apabila mereka tidak mengemas bilik atau menjaga kebersihan asrama.

"Menurut saksi, ada satu insiden pada penghujung Mei lalu, apabila dia ternampak ketiga-tiga pelajar junior termasuk Zara Qairina dan saksi berkata mereka dikatakan menyindir pelajar junior termasuk adik saksi," katanya.

Mohd Syarulnizam berkata lagi, pada malam kejadian tersebut, saksi bersemuka dengan ketiga-tiga pelajar junior terbabit untuk bertanyakan sama ada mereka mempunyai masalah dengan adiknya.

"Zara dan para pelajar junior hanya diam dan saksi menegaskan supaya mereka tidak mengganggu atau menyentuh adiknya.

"Saksi berkata tiada sebarang kekerasan berlaku. Saksi menyatakan bahawa itulah kali pertama dan terakhir dia berjumpa dengan Zara.

"Selain malam tersebut, saksi tidak pernah berbual atau berhubung secara peribadi dengan Zara," katanya.

Mengenai malam 15 Julai lalu, peguam itu berkata saksi memaklumkan dirinya berada di dorm sendiri sebelum tidur sekitar jam 11 malam dan kemudian bermalam di dorm rakan lain.

"Saksi berkata dia tidak pernah terlibat dalam kesalahan disiplin serius, melainkan kesalahan seperti tidak memakai stokin atau lewat turun ke masjid.

"Saksi menyatakan tidak pernah mendengar kes buli serius dalam kalangan pelajar perempuan, hanya mengetahui pergaduhan biasa melibatkan pelajar lelaki," katanya.