SEPANG – Tawaran kerja melalui TikTok yang menjanjikan pendapatan lumayan didakwa menjadi taktik sindiket dadah terbongkar, selepas empat individu ditahan ketika cuba menyeludup 86 kilogram bunga ganja bernilai RM8.3 juta, pada Isnin.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, keempat- empat suspek terdiri daripada dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an ditahan selepas bagasi mereka disyaki mengandungi dadah.
Iklan
Iklan
"Cubaan itu terbongkar apabila bagasi salah satu pasangan itu diimbas semula selepas mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi individu yang telah mendaftar masuk lebih awal," katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.
Mohd Shuhaily berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menerima tawaran kerja menerusi TikTok dengan janji upah antara RM8,000 hingga RM11,000 untuk membawa barangan sambil melancong ke Manchester, United Kingdom.
"Kesemua suspek kini diserahkan kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Mohd Shuhaily turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja dalam talian yang terlalu menggiurkan dan sentiasa berwaspada terhadap individu tidak dikenali, selain menegaskan usaha memperketat pemeriksaan di pintu masuk negara akan diteruskan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.