28 hari temani jenazah ibu

Iklan
Kedua-dua beradik berkenaan kini dirawat di hospital akibat kekurangan nutrisi teruk. Foto Agensi

KENDAL, JAWA TENGAH – Penduduk Desa Bebengan, daerah Boja, dikejutkan dengan kejadian penemuan dua beradik dalam keadaan sangat lemah dan kekurangan tenaga selepas dipercayai tidak makan selama hampir sebulan dan hanya bertahan dengan air rebusan, sementara ibu mereka ditemui sudah meninggal dunia di dalam rumah pada 1 November lalu.

Mangsa dikenali sebagai Putri Setia Gita Pratiwi, 23, dan adiknya Intan Ayu Sulistyowati, 17, manakala ibu mereka, Setianingsih, 51, ditemui tidak bernyawa dengan tubuh yang telah membusuk.

Iklan
Iklan

Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, kedua-dua beradik itu tidak menjamah sebarang makanan selama 28 hari, hanya meminum air yang direbus menggunakan dapur di rumah mereka.

Keadaan itu menyebabkan mereka tidak lagi berdaya dan kini dirawat di Hospital PKU Muhammadiyah Boja Kendal akibat kekurangan nutrisi teruk.

Iklan

Penduduk mula mengesyaki sesuatu apabila terhidu bau busuk yang kuat dari dalam rumah serta melihat lalat berkerumun di tingkap kaca.

Ketika pintu rumah cuba dibuka, didapati ia dikunci dari dalam dan disendal dengan kerusi.

Iklan

Setelah dibuka perlahan-lahan, mereka mendapati dua beradik itu berada di sisi jenazah ibu mereka.

Ketua Desa Bebengan, Wastoni berkata, keluarga berkenaan sebelum ini dikenali sebagai keluarga yang mesra dan aktif dalam kegiatan masyarakat, namun sejak beberapa minggu lalu, mereka jarang dilihat keluar rumah.

“Penduduk menyangka mereka tidak mengalami masalah kewangan kerana biasanya membeli bekalan makanan sebulan sekali dalam jumlah banyak,” katanya kepada media tempatan.

Putri memberitahu, sejak 4 Oktober, keluarganya hanya minum air putih yang direbus selepas ibunya melarang mereka keluar atau meminta bantuan jiran.

“Ibu tidak mahu kami menyusahkan orang lain. Jadi kami hanya ikut kata-katanya,” katanya dalam keadaan lemah ketika ditemui di hospital.

Difahamkan, bapa mereka meninggal dunia di Kalimantan pada 2017, menyebabkan keluarga itu berpindah dari Semarang ke Kendal pada 2019.

Sejak itu, ibu mereka tidak bekerja tetap dan hanya membantu saudara dalam urusan memasak.

Kedua-dua beradik kini masih dirawat rapi di hospital, sementara pihak polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian yang menyayat hati ini. - Agensi