UIAM digesa ambil tindakan terhadap ahli akademik langgar etika

Iklan
Kenyataan ASA yang mengesa tindakan terhadap ahli akademik terlibat.

SHAH ALAM – Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggesa pihak pengurusan universiti itu mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap seorang ahli akademik yang didakwa melanggar piawaian etika, profesionalisme dan integriti akademik.

ASA menegaskan insiden terkini melibatkan tindakan dan kenyataan ahli akademik terlibat berkemungkinan bercanggah dengan nilai dan tanggungjawab sosial yang sepatutnya dijunjung oleh warga akademik universiti.

Iklan
Iklan

"Tingkah laku sedemikian, khususnya apabila ia menjejaskan tanggungjawab sosial atau menimbulkan risiko besar terhadap reputasi serta nama baik universiti, tidak boleh dipandang ringan.

"Kredibiliti institusi kita bergantung kepada integriti, akauntabiliti dan profesionalisme para kakitangan akademiknya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Walaupun tidak menamakan secara langsung nama ahli akademik dimaksudkan, gesaan itu hadir selepas satu lagi kenyataan kontroversi melibatkan seorang pensyarah wanita dari universiti berkenaan.

Terdahulu, tular video syarahan pensyarah tersebut di saluran Youtube yang mendakwa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.

Iklan

Menurut pensyarah itu, kepakaran orang Melayu dalam bidang maritim dan pembinaan kapal telah bermula sejak era kerajaan Funan dan berkembang pesat di Alam Melayu, sebelum mempengaruhi tamadun luar termasuk Rom kuno.

Jelasnya, pengaruh Fenisia turut mendorong kepada perkembangan teknologi maritim nusantara, terutama dari segi kemahiran pembinaan kapal.

ASA berkata, sebarang salah laku, salah tafsir maklumat awam atau kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat perlu ditangani segera mengikut prosedur dan peraturan sedia ada.

"Tindakan sedemikian penting bukan sahaja bagi menegakkan keadilan dan kesaksamaan, tetapi juga untuk memelihara kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap universiti sebagai pusat ilmu yang dihormati, berintegriti dan berwibawa dalam kepimpinan moral," tambah kenyataan itu.

ASA dalam masa sama menegaskan komitmen untuk mempertahankan prinsip kebebasan akademik yang disertai tanggungjawab, kejujuran intelektual, rasa hormat dan kebenaran yang membentuk identiti bersama kita.

"Kami juga komited untuk memastikan bahawa tindakan segelintir individu tidak menjejaskan integriti serta maruah kolektif seluruh komuniti akademik," jelas kenyataan tersebut lagi.