MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hanya mengiktiraf penggunaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat berkata, pihaknya menyokong penegasan Jakim bahawa penggunaan istilah seperti 'Muslim Choice' bukan satu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa.
“Penggunaan istilah berkenaan atau yang diperkenalkan oleh mana-mana pihak, termasuk Pasukan Pemantau Mesra Muslim (Muslim-Friendly Watch – MFW), bukanlah perakuan halal yang sah.
“Ia boleh mengelirukan masyarakat mengenai status halal sesuatu produk atau premis serta melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pengerusi Panel Pengesahan Halal Negeri Melaka itu berkata, sebarang penggunaan logo dan simbol yang membawa maksud halal serta boleh dimakan umat Islam oleh mana-mana pihak selain Jakim, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah tidak sah dan menyalahi peraturan.
“Perbuatan ini boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara serta mengelirukan pengguna.
“JAIM tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap logo halal palsu atau sijil yang dikeluarkan oleh pihak tidak diiktiraf serta memastikan hanya logo halal rasmi Malaysia digunakan pada setiap produk.
“Pengguna boleh membuat semakan status halal melalui portal rasmi Jakim di https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal