Amanah Johor desak sidang khas DUN bincang krisis air

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 31 Oktober lalu. Gambar kecil: Fadhli Umar

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menggesa kerajaan negeri memanggil satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan secara menyeluruh krisis bekalan air susulan insiden pencemaran di Sungai Johor baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan terancang dalam menangani isu berulang yang memberi kesan besar kepada rakyat serta industri.

Iklan
Iklan

Katanya, pencemaran yang menjejaskan operasi loji rawatan air bukan sekadar masalah teknikal, sebaliknya mencerminkan kelemahan dalam pengurusan sumber air negeri.

“Apabila sungai tercemar, rumah terputus bekalan dan industri terhenti operasi, yang terganggu bukan hanya aliran air tetapi juga tahap kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kita mengurus kemajuan," ujarnya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, Johor kini sedang menuju era sebagai hab pusat data dan ekonomi digital serantau yang mana lebih 100 permohonan pusat data baharu serta penggunaan air dianggarkan melebihi 800 juta liter sehari iaitu hampir separuh daripada kapasiti air terawat negeri.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan harap tidak berlaku lagi. Tindakan mesti pantas, berasaskan data, dan disokong oleh sistem pemantauan serta tindak balas yang cekap,” katanya.

Iklan

Fadhli Umar turut mencadangkan agar satu mobilisasi khas digerakkan secara berkala membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang risiko pencemaran.

“Krisis ini bukan sekadar ujian biasa, ia adalah ujian kepimpinan kerajaan negeri. Kerajaan mesti bertindak hari ini sebelum air yang menghidupkan negeri ini menjadi beban dan menenggelamkan harapan rakyat,” katanya.

Sebelum itu, media melaporkan bekalan air yang terjejas akibat pencemaran Sungai Johor melibatkan hampir 1.2 juta isi rumah di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Kulai dan Pontian akan pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam pada Rabu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kawasan paling akhir yang akan menerima bekalan tersebut adalah Taman Impian Emas, Taman Bukit Impian dan Taman Anggerik Emas di Johor Bahru.