JOHOR BAHRU – Insiden pencemaran di Sungai Johor yang menjejaskan 1.2 juta penduduk sejak Jumaat lalu disifatkan sebagai yang paling teruk pernah direkodkan sehingga menjejaskan sumber bekalan air utama negeri ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang, kerajaan negeri akan mewartakan Sungai Johor sebagai tadahan air kekal.
"Pencemaran dikesan pada 5.30 pagi, Jumaat yang mencatatkan paras kekeruhan air mentah 37,400 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) hingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) ditutup secara berperingkat.
"Ini merupakan rekod tertinggi pencemaran yang pernah dialami Sungai Johor yang membekalkan bekalan air kepada penduduk.
"Sebelum ini, bacaan tertinggi yang direkodkan hanya sekitar 5,000 NTU pada tahun 2019 di Sungai Johor," katanya ketika meninjau agihan air di Taman Impian Emas, Skudai pada Rabu.
Jelas beliau, penutupan LRA berkenaan membabitkan LRA Linggiu, Semanggar, Sungai Johor dan Tai Hong, sekali gus menjejaskan lebih 292,000 akaun pengguna atau hampir 1.2 juta penduduk di beberapa daerah termasuk Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.
"LRA Linggiu merupakan loji pertama yang terpaksa dihentikan operasi pada jam 7 pagi, Jumaat dan hanya dapat beroperasi semula 14 jam 30 minit kemudian.
"Penutupan paling lama pula melibatkan LRA Tai Hong yang terpaksa ditutup selama 32 jam kerana terletak berhampiran kawasan muara sungai," katanya.
Mohamad Fazli menegaskan kerajaan negeri telah mengeluarkan notis arahan menghentikan aktiviti kerja terhadap pihak yang dikenal pasti menyebabkan pencemaran.
“Kerajaan negeri juga mengarahkan syarikat terlibat menanggung segala kos kerosakan akibat pencemaran itu.
"Selain itu, kerajaan negeri bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang mempertimbangkan langkah menggazetkan Sungai Johor sebagai kawasan keutamaan sumber air yang akan menghadkan aktiviti pembangunan di sepanjang jajaran sungai berkenaan serta anak-anak sungainya," katanya.
Pada Jumaat, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk jam 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi.