Kekalkan OPR pada 2.75 peratus bantu rakyat rancang kewangan - Ahli ekonomi

Iklan
Ahli ekonomi menjangkakan MPC BNM akan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.

KUALA LUMPUR - Langkah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus akan mendorong jangkaan yang lebih baik terhadap kos pinjaman di samping membolehkan rakyat Malaysia merancang perbelanjaan modal dan pembelian aset dengan lebih yakin, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok dijangka mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.

Iklan
Iklan

Beliau berkata keputusan itu berkemungkinan dibuat berdasarkan andaian bahawa ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar yang baik bagi suku ketiga 2025, meningkat 5.2 peratus, jauh melebihi pertumbuhan 4.4 peratus yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.

"Selain itu, pasaran buruh kekal berada pada tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran kekal stabil pada 3.0 peratus selama beberapa bulan. Ini menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan yang baik,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Mohd Afzanizam berkata semua faktor itu akan menyokong perbelanjaan pengguna selain didorong oleh program pemindahan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah yang melengkapkan kekukuhan ekonomi Malaysia.

"Lebih penting, BNM akan dapat mengekalkan ruang dasar untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang kejutan ekonomi dalam masa terdekat,” katanya.

Iklan

MPC BNM dijadualkan mengumumkan keputusan mengenai OPR esok.

Perubahan terkini terhadap OPR melibatkan penurunan kepada 2.75 peratus yang diumumkan pada 9 Julai, 2025.

Sebelum itu, kadar tersebut dikekalkan pada paras 3.00 peratus sejak 3 Mei, 2023. - Bernama