SETIU - Semangat MADANI terus dizahirkan di akar umbi apabila Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berjaya menutup tirai Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) dengan jayanya di Ulu Nerus, Terengganu.
Majlis penutup berlangsung di Kampung Bukit dan Kampung Tayor Tengah, disempurnakan sendiri oleh Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Datuk Mohd Zaki Mat Amin.
Program itu turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong membabitkan penduduk setempat bersama petugas NAHRIM.
Turut diadakan, lawatan tapak dan pemeriksaan projek bersama Ir. Datuk Mohd Zaki meliputi kerja baik pulih jalan, naik taraf kemudahan awam, serta pembangunan sistem air hibrid NAHRIM bagi memastikan keperluan asas penduduk kampung terus terjamin.
Selain itu, kerjasama erat antara NAHRIM dengan beberapa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga dimuktamadkan, termasuk projek naik taraf sistem bekalan air alternatif, kemudahan sukan dan penyediaan van jenazah untuk kegunaan masyarakat setempat.
Antara yang hadir termasuk Pengerusi JPKKP Kampung Bukit, Azli Ismail, Pengerusi JPKK Kampung Bukit, Zulkifli Mahmud, Pengerusi JPKK Kampung Tayor, Farizan Mohd, serta Mazlan Musa, yang juga Pengerusi Masjid Kampung Bukit.
Dalam ucapannya, Mohd Zaki berkata, pelaksanaan KAM ini membuktikan iltizam Kerajaan Madani dalam memastikan manfaat pembangunan sampai terus kepada rakyat luar bandar.
“Besar harapan saya agar program SAM NAHRIM ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah, terutama melalui kerjasama erat bersama PIBG, ibu bapa dan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau menambah, Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Burung, yang menjadi sekolah angkat NAHRIM, wajar memanfaatkan peluang ini bagi mendedahkan pelajar kepada kemajuan teknologi terkini dalam sektor air, selaras dengan keperluan dunia digital masa kini.
Mohd Zaki turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia atas kelulusan pelaksanaan kedua-dua program berkenaan yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan komuniti di Kampung Bukit, Kampung Tayor dan SK Durian Burung.
“Terima kasih juga kepada semua pihak di pelbagai peringkat persekutuan, negeri, daerah, sekolah serta komuniti atas sokongan yang memastikan kejayaan program ini,” katanya lagi.
Pada 2 November lalu, Mohd Zaki turut menyempurnakan Majlis Penutup dan Serahan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) di SK Durian Burung bersama Yang Dipertua PIBG, Azizah Mahmood dan guru besar, Rashidi Abdullah.
Program berkenaan turut menyaksikan lawatan ke lokasi projek SAM termasuk naik taraf dewan sekolah, bilik guru, pusat sumber serta pembinaan platform podcast dan sistem audio visual (AV).
Beliau turut meluangkan masa menyertai rakaman Podcast D’Birds, yang dikendalikan sendiri oleh pelajar sekolah berkenaan.