PENGARAH Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad (Guthrie), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha mengumumkan pelepasan jawatan semasa beliau berkuat kuasa 31 Disember 2025.
Beliau akan meneruskan perkhidmatan dengan syarikat sebagai penasihat kepada Lembaga Pengarah mulai 1 Januari 2026, sehingga persaraan beliau pada 30 Jun 2026.
Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad akan mengambil alih jawatan Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Januari 2026.
Pengerusi Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, pihak syarikat merakamkan penghargaan kepada Mohamad Helmy atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie sepanjang enam setengah tahun yang lalu.
Menurutnya, Mohamad Helmy telah memimpin syarikat berkenaan dalam mengharungi tempoh yang cukup mencabar sehingga berjaya mengemudi syarikat ke arah prestasi operasi dan kewangan memberangsangkan.
"Beliau juga akan dikenang kerana kecekalan, visi serta komitmen dalam memacu prestasi di Guthrie serta memberi inovasi dalam industri perladangan.
"Bagaimanapun, kami juga bersyukur kerana Mohamad Helmy akan terus berkhidmat sebagai penasihat kepada Lembaga Pengarah untuk berkongsi pengalaman beliau selama bertahun-tahun bersama Guthrie.
"Bagi pihak Lembaga Pengarah dan keluarga Guthrie, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Mohamad Helmy dan terima kasih atas segala khidmat dan dedikasi beliau terhadap syarikat," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Nik Norzrul Thani, pihaknya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Mohd Haris atas pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie yang terbaharu
"Syarikat memberi keyakinan kepada Mohd Haris untuk membawa Guthrie ke tahap yang lebih tinggi," jelasnya.
Sebelum ini, Mohamad Helmy dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Julai 2019, ketika itu menerajui Sime Darby Plantation Berhad sebelum proses penjenamaan semula kepada Guthrie.
Di bawah kepimpinannya, syarikat berjaya mengharungi pelbagai cabaran termasuk kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM), pandemik Covid-19, sekatan kemasukan produk ke Amerika Syarikat serta kekurangan tenaga kerja ladang akibat penutupan sempadan.
Antara kejayaan penting beliau termasuk penubuhan 'Infinity Taskforce' pada tahun 2020 bagi memodenkan operasi perladangan melalui mekanisasi dan automasi.
Beliau juga memainkan peranan utama dalam inisiatif penjenamaan semula Guthrie pada 2024, yang memperkenalkan dua segmen baharu iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pembangunan Perindustrian sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian perniagaan.
Sementara itu, Mohd Haris yang menyertai Sime Darby Berhad pada 2014, pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO) dan memainkan peranan penting dalam penjenamaan semula segmen hiliran kepada Sime Darby Oils (SDO) pada 2019.
Berpengalaman luas dalam perdagangan komoditi global, beliau pernah berkhidmat di Cargill, Nestlé dan Unilever di Malaysia, Eropah dan Asia, selain mengetuai pelbagai inisiatif kecemerlangan operasi serta pembangunan bakat di Guthrie.
Mohd Haris kini merupakan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM), dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).