PAPAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya membanteras kegiatan penyeludupan ayam beku dan aktiviti sabung ayam bernilai RM21.7 juta menerusi serbuan Operasi Op Taring Chiller/Manuk di lapan daerah di negeri ini, pada Selasa.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu bersama beberapa agensi lain itu dijalankan antara jam 9 hingga 12 tengah hari melibatkan daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Sandakan, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Semporna.
"Hasil pemeriksaan di 15 lokasi melibatkan premis dan ladang membawa kepada tangkapan seramai 24 individu berusia 18 hingga 61 tahun iaitu terdiri daripada pekerja dan pemilik premis.
"Hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 21.7 juta melibatkan ayam beku dan ayam digunakan untuk aktiviti menyabung ayam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Sabah, di Kinarut pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau percaya makanan daging sejuk beku tersebut didatangkan dari luar negara yang diragui dari segi halal dan kebersihannya.
"Perniagaan ini juga menguntungkan, sudah tentu aktiviti begini akan berterusan. Tetapi pihak polis sentiasa konsisten membanteras aktiviti seumpama ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 21 (1)(i) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 (Akta 281), Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948, Undang-Undang Kecil 1981 dan Peraturan 38 (1) (c) (Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009).
"Semua tangkapan telah diserahkan kepada agensi-agensi yang berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya.