SUNGAI PETANI - Polis meminta pemandu yang terlanggar seorang penunggang motosikal wanita ataupun saksi kemalangan di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil pada Ahad tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 7.50 petang membabitkan seorang pekerja kilang, Balqis Natasya Habibullah, 21.
Menurutnya, ketika itu mangsa yang beralamat di Kota Sarang Semut sedang menunggang motosikal dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa bergerak lurus sebelum dipercayai hilang kawalan ke bahu kanan jalan dan terjatuh,” katanya.
Menurutnya, sebuah kenderaan yang datang dari arah hadapan dipercayai tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.
“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.
“Kami meminta saksi kejadian atau individu yang terlanggar mangsa tampil membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, satu video berdurasi 20 saat tular di media sosial memaparkan kejadian seorang penunggang motosikal yang dilihat hilang kawalan sebelum terjatuh.
Mangsa kemudian dilanggar sebuah kenderaan yang datang dari arah hadapan dipercayai akibat tidak sempat mengelak.