Sekolah tidak berdaftar dengan JAIS tak layak duduki UPKK - Mohd Shahzihan

Iklan
Mohd Shahzihan

SHAH ALAM - Seramai 80 murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Afsari, Saujana Putra, Puchong tidak dibenarkan menduduki Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) tahun ini kerana sekolah itu tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, peperiksaan UPKK anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAIS bertindak sebagai badan perantara di negeri ini mengikut syarat-syarat ditetapkan.

Iklan
Iklan

"SRI Al Afsari tidak berdaftar dengan JAIS mengikut ketetapan di bawah Seksyen 12 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Selangor) 1988 (Pindaan 2001).

“Disebabkan status itu, Jakim selaku penganjur peperiksaan tidak memberi laluan kepada pelajar sekolah berkenaan untuk menduduki UPKK Sesi 2025," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mohd Shahzihan menjelaskan, SRI Al Afsari sebelum ini menggunakan nama SRI Al Fakri dan hanya memperoleh kelulusan penubuhan sementara pada 29 November 2012.

Tambahnya, meskipun JAIS sudah memberi peringatan agar pihak sekolah memohon pendaftaran penuh selepas tempoh sementara tamat, permohonan itu hanya dikemukakan semula pada 21 Disember 2023.

Iklan

Jelasnya, JAIS akan mempertimbangkan pendaftaran penuh hanya selepas pihak sekolah melaksanakan kurikulum dan pematuhan yang ditetapkan.

Selain itu, sekolah itu juga perlu memperoleh pengesahan kesihatan dan keselamatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu penukaran status rumah kedai kepada institusi pendidikan.

"Bagaimanapun, SRI Al Afsari tidak dapat didaftarkan di bawah undang-undang kerana masih tidak mendapat sokongan daripada pihak JBPM dan tiada kelulusan daripada PBT untuk KM," tambahnya.

Tegasnya, JAIS berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya akur dengan undang-undang dan ketetapan ditetapkan oleh JAIS serta JAKIM.

"JAIS menasihatkan ibu bapa memastikan anak-anak hanya dihantar ke sekolah agama yang berdaftar bagi mengelakkan masalah sama berulang,” katanya.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan umat Islam supaya tidak membuat sebarang tuduhan tanpa usul periksa yang boleh menimbulkan fitnah terhadap institusi agama.

"Tindakan menuduh tanpa fakta hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan imej institusi agama termasuk peranan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pembuat dasar mengenai hal ehwal Islam dan Jakim sebagai agensi pusat yang menyelaras perkara mengenai hal ehwal Islam di seluruh negara," ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 80 murid di sebuah sekolah rendah agama swasta di Saujana Putra tidak dapat menduduki UPKK 2025 berikutan sekolah itu tidak berdaftar dengan JAIS.