'Pastikan hanya rakyat layak nikmati subsidi'

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kerajaan yang sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi dan bantuan terhadap barangan bersubsidi pada Selasa. Gambar kecil: Baharudin

SHAH ALAM – Barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak perlu dikekalkan jualannya di semua kedai runcit bagi memudahkan rakyat mendapatkannya.

Naib Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema), Baharudin Mohamed Ali berkata, pihaknya menyokong cadangan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi bagi barangan berkenaan.

Iklan
Iklan

“Setiap pelanggan yang ingin membeli barangan bersubsidi perlu menunjukkan kad pengenalan diri supaya hanya rakyat Malaysia yang berkelayakan sahaja dapat membelinya.

“Langkah ini juga boleh mengelakkan barangan tersebut diseludup keluar negara kerana harganya tinggi bagi orang bukan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Baharudin yang juga Presiden Gapema Kedah berkata, pihak berkuasa juga perlu memastikan setiap kilang yang menerima kuota pembungkusan barangan subsidi menepati jumlah sebenar yang ditetapkan untuk pasaran tempatan.

“Pihak berkuasa juga mesti memastikan tiada penyelewengan dalam pengedaran dan pembungkusan barangan ini,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Baharudin berkata, isu barangan subsidi ketika ini tidak begitu membimbangkan kerana harganya masih dikawal kerajaan.

“Namun, isu lain seperti cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) kini menjadi kebimbangan kepada peniaga,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi dan bantuan terhadap barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat serta berfasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan ketirisan serta memastikan barangan bersubsidi hanya dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, seperti yang dilaksanakan menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) dan subsidi diesel.