Pencemaran Sungai Johor: Bekalan air pulih 94 peratus - Exco Johor
Iklan
Mohamad Fazli
JOHOR BAHRU – Gangguan bekalan air di Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi susulan pencemaran di Lembangan Sungai Johor kini hampir pulih apabila kadar pemulihan mencapai 94 peratus setakat jam 5 petang, Selasa.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sebanyak 201,554 akaun pengguna telah kembali menerima bekalan air daripada keseluruhan 214,154 akaun yang terjejas sejak insiden dikesan pada Jumaat.
Iklan
Iklan
Jelasnya, loji Rawatan Air (LRA) Semangar telah pulih sepenuhnya manakala LRA Sungai Johor masih dalam proses pemulihan berperingkat yang menjejaskan kira-kira 12,600 akaun melibatkan kawasan Tebrau, Skudai, Tiram dan Gelang Patah.
"Sebanyak 31 lori air dengan kapasiti keseluruhan 613 meter padu digerakkan setiap hari bagi penghantaran air bersih ke kawasan terjejas dengan bantuan luar turut digerakkan dari Melaka dan Negeri Sembilan bagi membantu kawasan tekanan rendah.
Iklan
"Selain itu, peningkatan mendadak penggunaan dan simpanan panik pengguna turut menjejaskan paras tangki utama di beberapa lokasi tetapi bekalan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh lapan hingga 12 jam akan datang, bergantung kepada kestabilan tekanan dan pengisian tangki utama," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad Fazli memberitahu siasatan awal mendapati pencemaran berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir darat oleh sebuah syarikat apabila kolam cucian pasir pecah akibat pergerakan tanah menyebabkan paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit kekeruhan nephelometric (NTU) berbanding paras normal 400 NTU.
Iklan
"Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor telah mengeluarkan Notis Arahan untuk menghentikan aktiviti perlombongan serta-merta bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
"Selain itu, permit bahan batuan syarikat terbabit turut digantung sementara waktu bagi memberi ruang kepada proses siasatan.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7A(1)(c) Enakmen Air 1921 (Pindaan 2014) serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan akan dikemukakan untuk tindakan lanjut sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang," ujarnya.
Beliau menjelaskan kerajaan negeri telah mengarahkan syarikat terlibat supaya menanggung kos kerja pemulihan serta langkah pembersihan yang diperlukan dan akan dikenakan tindakan kompaun mengikut enakmen yang wajar.
Pada Jumaat, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk jam 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi.
Kerajaan Johor buat pertama kalinya melantik 10 Timbalan Exco bagi memperkukuhkan pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan dasar, projek dan program ke arah merealisasikan agenda Maju Johor 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan pembangunan Johor yang semakin pesat.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/788914/edisi/johor/johor-cipta-sejarah-pertama-kali-lantik-10-timbalan-exco
opyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.