SHAH ALAM - Usaha memerangi rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada satu pendekatan, sebaliknya perlu dilakukan di segenap penjuru dengan strategi yang sistematik dan menyeluruh.
Disebabkan itu, Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah melalui penerbitan komik pendidikan kerana dilihat sebagai langkah kreatif dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah.
“Setiap langkah yang proaktif dan punya objektif yang jelas kita sambut baik. Bermakna dalam memerangi rasuah kita perlu bertindak di segenap penjuru dan strategi yang sistematik.
"Langkah dengan menerbitkan itu adalah satu usaha yang baik demi memberi kesedaran kepada masyarakat yang bermula dengan usia pra sekolah hingga peringkat seterusnya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM memerangi jenayah rasuah dengan pendekatan lebih dekat kepada masyarakat apabila menerbitkan buku komik bertajuk 'Misi Integriti: Perang Rasuah Bermula' bersama Politeknik Kuching Sarawak.
Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi itu dilihat sebagai strategi baharu SPRM dalam menyemai kesedaran antirasuah kepada pelajar khususnya di peringkat teknikal dan vokasional.
Buku komik berkenaan dihasilkan oleh dua pensyarah Politeknik Kuching Sarawak, Haslinda Jama’in serta Nur Maisarah Syahirah Zainal Abidin dan akan digunakan sebagai bahan rujukan tambahan bagi Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR).
Bagaimanapun, beliau memaklumkan perlu ada pelan yang jelas dari segi perancangan jangka pendek dan jangka panjang agar usaha tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan diterima masyarakat.
“Oleh itu, kontennya mestilah berpaksi pada tujuan asal dan kumpulan sasaran, serta perlu juga disemak imbang oleh pakar dan mereka yang punya kepakaran,” katanya.
Hamdan Daniel turut berharap usaha seperti itu akan disambut baik dan diusahakan juga oleh agensi-agensi lain bagi memperkukuh gerakan nasional membanteras rasuah.