Warga emas hilang ditemui lemah berhampiran stesen amaran banjir JPS

Iklan
Mohd Taib yang dilaporkan hilang di Chegar Medang, Benus, Bentong Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran stesen sistem amaran banjir JPS pada Selasa.

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Chegar Medang, Benus, Bentong, pada Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran stesen sistem amaran banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kampung berkenaan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa, Mohd Taib Ismail, 69, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 3.15 petang dalam keadaan agak lemah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan kesihatan.

“Setakat ini belum dapat dipastikan tujuan mangsa ke lokasi tersebut.

Iklan

“Pihak polis juga sukar mendapatkan maklumat tepat berhubung kejadian memandangkan mangsa mempunyai masalah ingatan dan masih mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Zaiham turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi serta penduduk sekitar yang terlibat dalam operasi SAR berkenaan.

Iklan

Polis Bentong sebelum ini meminta bantuan orang ramai bagi mengesan warga emas itu selepas dia dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

Kehilangan mangsa dilaporkan kira-kira jam 12.11 tengah malam pada Isnin sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan.