Kes kematian murid Tahun Empat: Kertas siasatan diserah semula kepada polis

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes kematian murid Tahun Empat di dalam tandas sekolah di Senawang

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan telah menerima semula kertas siasatan berhubung kematian seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah di Senawang bulan lalu daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kertas siasatan itu diterima pihaknya pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, terdapat arahan terbaharu yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan tersebut dikembalikan semula kepada AGC.

“Memandangkan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya, pihak polis memohon agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Iklan

“Polis akan memaklumkan keputusan siasatan sebaik sahaja menerima arahan lanjut daripada AGC,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan bahawa mangsa, Iman Zhafran ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Iklan

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu buli melalui komunikasi.

Bagaimanapun, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, tampil dalam sidang media pada Isnin mendakwa anaknya pernah menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Muhammad Hafizuddin dilaporkan berkata, arwah anaknya, Iman Zhafran, 10, sempat memberitahu kakaknya mengenai ugutan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis telah menemui nota tulisan tangan dalam buku milik arwah yang dipercayai mengandungi mesej berunsur ugutan.

“Dalam buku arwah, ada tulisan berbunyi ‘saya nak awak mati... saya tak tahu awak akan masuk syurga atau neraka’. Itu yang polis tunjukkan kepada kami,” ujarnya.

Susulan itu, beliau menuntut agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti sama ada ugutan tersebut mempunyai kaitan dengan kematian anaknya atau sebaliknya.

“Kami mahukan keadilan. Kalau betul ada unsur buli atau ugutan, siasat sampai habis. Anak saya tak sepatutnya pergi (meninggal dunia) begini,” katanya.