Bayi baru lahir ditinggalkan di bangunan sedang dibina

Iklan
Bayi yang ditemui dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan berada dalam keadaan stabil. - Foto ihsan PDRM

BACHOK – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di sebuah bangunan dalam pembinaan berhampiran sebuah sekolah menengah di Gunong di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada Klinik Kesihatan Mahligai pada sekitar jam 8.45 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, maklumat awal mendapati bayi berkenaan ditemui orang awam dalam keadaan tanpa pakaian dan hanya dibaluti sehelai kain berwarna hijau dalam rumah yang masih dalam pembinaan.

“Pemeriksaan awal doktor mendapati bayi lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian muka dan disyaki baru dilahirkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Lokasi seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui pada Selasa. - Foto ihsan PDRM

Beliau berkata, bayi itu kemudiannya dibawa ke Wad Nilam 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Iklan

Mohamad Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meninggalkan bayi tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan anak dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran,” jelasnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurul Aida Jaffar di talian 014-2714926 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.