PENGENDALI Shanghai Shenhua, Leonid Slutskiy menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ibarat 'pasukan ala Sepanyol' menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Slutskiy, yang pernah membimbing CSKA Moscow dan Hull City, mengakui kagum dengan corak permainan dimiliki skuad Harimau Selatan yang disifatkannya sangat tersusun, penuh teknikal serta memiliki identiti tersendiri di rantau Asia Tenggara.
“Apabila saya menonton aksi JDT, saya lihat gaya mereka hampir sama seperti kelab dari Sepanyol yang menitikberatkan penguasaan bola, pergerakan pantas dan kombinasi yang sangat baik di kawasan lawan.
"Kekuatan terbesar JDT ialah disiplin taktikal serta kemampuan menukar tempo permainan dengan cepat; sesuatu yang jarang dimiliki kelab Asia Tenggara lain. Mereka juga tidak bermain secara long ball atau secara fizikal semata-mata.
"Sebaliknya, mereka sabar membina serangan dari bawah, seolah-olah menonton pasukan LaLiga. Ini membuatkan kami perlu beraksi lebih berhati-hati dan fokus sepanjang 90 minit nanti,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan.
Dalam pada itu, Slutskiy turut menegaskan skuad Tricolor The Flower of Shanghai itu tidak boleh memandang rendah lawan, sambil menyifatkan pertemuan menentang skuad Harimau Selatan sebagai ujian sebenar tahap pasukannya di pentas Asia.
"Jadi, ini bukan perlawanan balas dendam. Kami tewas musim lalu tanpa dibarisi pemain-pemain utama tetapi sekarang, kami bersedia dan saya percaya ia akan menjadi perlawanan menarik untuk penyokong,” tambahnya.
Sementara itu, penjaga gol Shanghai Shenhua, Zhou Zhengkai, berkata dia serta rakan sepasukan bersedia berdepan skuad Harimau Selatan.
Malah katanya, mereka telah melakukan persiapan rapi termasuk memantapkan benteng pertahanan.
"Kami juga bersedia dengan situasi hantaran bola mati (set pieces) daripada JDT," katanya.