'Dua gelombang jentera bagi bantu PRN Sabah' - Pas Pahang

Iklan
Andansura

KUANTAN - Dua gelombang disusun bagi menghantar jentera Pas Pahang membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan tumpuan diberikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Andansura Rabu berkata, penghantaran dibuat secara berperingkat dengan kumpulan pertama dijangka berlepas ke Sabah minggu ini.

Iklan
Iklan

“Insya-ALLAH jentera kita akan mula bertugas pada 7 November, manakala kumpulan kedua akan menyusul seminggu kemudian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah memberitahu, keseluruhan jentera melibatkan kira-kira 50 petugas yang mempunyai pelbagai kepakaran termasuk dalam bidang teknologi maklumat (IT), penerangan, kempen serta perayu undi daripada Muslimat.

Iklan

"Penghantaran jentera itu menunjukkan komitmen kita dalam memastikan kelancaran gerak kerja parti di peringkat nasional, selain memperkukuh semangat perpaduan dan sokongan antara negeri,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

Iklan

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November ini dan tarikh pengundian awal serta hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

PRN Sabah kali ini turut menyaksikan beberapa negeri lain menghantar jentera bantuan bagi memperkukuh gerak kerja kempen di kawasan masing-masing.