SHAH ALAM – Label seperti Muslim Choice tidak boleh dianggap sebagai tanda halal dari sudut syarak kerana ia berpotensi menimbulkan kekeliruan dan tergolong dalam perkara syubhah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, masyarakat awam mudah menyangka produk yang menggunakan label itu telah disahkan halal oleh pihak berautoriti.
“Dari sudut undang-undang Malaysia ia melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis atau jabatan agama Islam negeri yang berhak mengeluarkan pengesahan halal.
“Dari sudut etika dakwah pula, Muslim diseru berhati-hati dalam menggunakan istilah agama untuk tujuan perniagaan dan tidak memanfaatkan kepercayaan masyarakat terhadap halal tanpa sandaran sah,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Sukki menegaskan, label seperti Muslim Choice tidak wajar digunakan kerana ia boleh disalah tafsir sebagai pengesahan halal rasmi.
“Ia membuka pintu kepada eksploitasi nama Islam dalam urusan perdagangan.
“Mana-mana pihak yang menggunakan istilah, lambang atau label yang menyerupai sangkaan halal tanpa pengesahan Jakim adalah menyalahi peraturan dan boleh mengelirukan dari sudut syarak,” katanya.
Beliau menambah, dari sudut fiqh, penggunaan label itu termasuk dalam kategori syubhah kerana masyarakat tidak pasti sama ada produk tersebut benar-benar halal atau sekadar pilihan Muslim tanpa pengesahan rasmi.
“Walaupun niat memperkenalkan label mungkin baik untuk menggalakkan sokongan terhadap produk Muslim, namun kaedah itu tetap boleh menimbulkan kekeliruan hukum agama,” katanya.