SHAH ALAM - Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) bukanlah pilihan sukarela sebaliknya satu langkah penting bagi melindungi jutaan pekerjaan rakyat Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu membolehkan Malaysia mengekalkan kadar tarif import sebanyak 19 peratus, iaitu kadar terendah di ASEAN bagi negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.
"Tanpa ART, tarif berpotensi meningkat kepada 25 atau 40 peratus seperti yang dikenakan ke atas Myanmar dan Laos. Jika tarif dinaikkan, eksport Malaysia akan kurang berdaya saing berbanding negara lain yang tarif lebih rendah.
"Bila eksport rendah, pengeluaran kilang terpaksa dikurangkan dan akhirnya pekerjaan rakyat turut terjejas, dalam jangka masa panjang, kilang sedia ada ditutup dan pelabur memilih negara lain dengan tarif lebih rendah.
"Tetapi dengan ART, alhamdulillah kita dapat kekalkan dengan tarif 19 peratus yang merupakan terendah di ASEAN bagi negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli membangkitkan perjanjian AS dengan Kemboja lebih baik berbanding Malaysia-AS.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, terdapat beberapa aspek dalam perjanjian Kemboja-AS yang memberi kelebihan jauh berbeza berbanding dengan negara ini, termasuk dari segi klausa tindakan timbal balik.
Ujarnya, dari segi klausa berkenaan, perjanjian Malaysia-AS menyatakan tindakan timbal balik itu perlu dilaksanakan demi faktor kepentingan ekonomi bersama atau keselamatan negara.
Tengku Zafrul turut mengucapkan penghargaan terhadap pandangan yang dibangkitkan Rafizi berhubung perjanjian tersebut dan menjelaskan bahawa kebanyakan isu telah diambil kira sepanjang proses rundingan.
Beliau menjelaskan, perbandingan perjanjian ART Malaysia dengan Kemboja perlu dilihat dalam konteks tahap pembangunan masing-masing.
"Kemboja menerima layanan lebih baik kerana statusnya sebagai negara kurang maju. Sama seperti sistem pendidikan, pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah diberi keutamaan tertentu.
"Maka, syarat yang dikenakan ke atas Malaysia dan Kemboja memang berbeza berdasarkan kemampuan negara," katanya.
Mengulas dakwaan bahawa ART boleh menjejaskan kedaulatan negara kerana ketiadaan frasa 'sovereignty' dalam Artikel 5.1, Tengku Zafrul menegaskan tafsiran tersebut tidak tepat.
Ujarnya, walaupun perkataan ‘sovereignty’ tidak disebut secara literal, namun kandungan artikel tersebut membuktikan kedaulatan Malaysia tetap terpelihara.
"Antara klausa yang mengekalkan kuasa Malaysia termasuk, langkah bersamaan kesan sekatan, Malaysia bebas memilih pendekatan sendiri.
"Selain itu, garis masa pelaksanaan perlu dipersetujui bersama, tiada paksaan automatik daripada AS dan tindakan hanya bagi ancaman ekonomi atau keselamatan bersama, perjanjian hanya berkuat kuasa jika ancaman melibatkan kepentingan bersama," katanya.
Menurut Tengku Zafrul, dalam Artikel 5.2.3, beliau menjelaskan mekanisme menilai pelaburan masuk adalah langkah penting bagi melindungi keselamatan negara.
"Malaysia tidak boleh hanya menilai jumlah pelaburan semata-mata, tetapi juga sumber kewangan dan latar belakang pelabur. Kita tidak mahu dana haram atau individu terlibat dalam keganasan menembusi sistem ekonomi negara," katanya.
Beliau menegaskan AS tidak menentukan pelaburan mana yang diterima Malaysia, sebaliknya negara ini hanya digalakkan meneroka mekanisme saringan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa serta pertimbangan keselamatan nasional.
Tengku Zafrul turut menjelaskan klausa berkaitan larangan pembelian reaktor nuklear, rod bahan api dan uranium yang hanya terpakai jika terdapat pembekal alternatif pada terma setara.
"Jika negara lain menawarkan harga lebih baik, Malaysia bebas membeli daripada mereka. Ia bukan larangan mutlak," katanya.
Tambah beliau, komitmen perolehan di bawah perjanjian ini tidak melibatkan dana kerajaan.
"Senarai perolehan yang disenaraikan ialah rancangan pembelian sedia ada oleh syarikat tempatan dan multinasional. Contohnya, pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group telah diumumkan lebih awal, sebelum tarif diumumkan oleh pentadbiran AS," katanya.
Ujar Tengku Zafrul, beliau mempunyai komitmen untuk terus memberi penerangan kepada rakyat agar kefahaman terhadap perjanjian ART dapat dipertingkatkan.
"Kami menghargai pandangan semua pihak termasuk Rafizi dan akan terus memperjelaskan setiap aspek agar rakyat memahami bahawa ART ini bertujuan menjaga kepentingan ekonomi dan pekerjaan rakyat Malaysia," jelas beliau.