MIRI - Polis menahan 11 lelaki berumur antara 16 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan kes rusuhan bersenjata di kawasan Waterfront Miri awal pagi semalam.
Tangkapan dibuat susulan video berdurasi seminit yang tular menerusi media sosial memaparkan kejadian merusuh yang dikatakan berlaku selepas dua lelaki bergesel bahu.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.05 pagi dan menyebabkan seorang lelaki cedera.
"Mangsa dirawat di Hospital Umum Miri dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pelbagai jenis senjata turut dirampas untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 324/148 Kanun Keseksaan.
Mohd Farhan turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan isu sensitif berkaitan kejadian itu menerusi media sosial.
Mereka yang mempunyai maklumat lanjut, katanya boleh menghubungi talian 085-433730 atau Inspektor Zulaihka Mohd Anuar 010-7975445 untuk membantu siasatan. - bernama