Pelumba cilik dari Pahang teruja berlumba di pentas dunia, wakil Malaysia ke FIM MiniGP World Series

Iklan
Pencapaian Al-Adam Mikail yang menjuarai FIM MiniGP Malaysia 2025 kategori 160cc di Sepang baru-baru ini melayakkan pelumba cilik itu untuk beraksi di Valencia pada pertengahan November ini.

KUANTAN - Impian besar Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff, 11, untuk membawa nama Pahang dan Malaysia ke pentas perlumbaan dunia bakal menjadi kenyataan.

Pelumba cilik dari Sungai Isap itu terpilih mewakili negara pada FIM MiniGP World Series di Valencia, Sepanyol yang akan berlangsung pada pertengahan bulan ini.

Iklan
Iklan

Al-Adam Mikail bersama seorang lagi pelumba muda negara, Qasha Irfan Azlan, 11, dari Terengganu bakal mencabar 45 peserta dari 23 negara seluruh dunia dalam kategori 160cc pada perlumbaan tersebut.

Al-Adam Mikail menunjukkan piala juara FIM MiniGP Malaysia 2025 kategori 160cc yang dimenangi kepada Fadzli (kiri) semasa majlis penyerahan sumbangan di PPSAS pada Isnin.

Iklan

Anak Pahang itu mengakui, dirinya teruja untuk berangkat ke Valencia yang dijadualkan pada Rabu ini diringi bapanya, Mohd Hamirul Aliff Abd Halim, 33.

"Saya sudah bersedia dan akan buat yang terbaik pada perlumbaan dunia yang pertama di sana (Valencia).

Iklan

"Memang gembira tapi ada juga sedikit perasaan gementar untuk beraksi di litar yang asing dalam keadaan cuaca yang berbeza nanti.

"Pengalaman di sana nanti akan saya guna sebaik mungkin supaya dapat pertingkat kemahiran untuk masa hadapan,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Pelumba berbakat besar itu juga berharap dapat menggunakan tempoh latihan di sana untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu yang akan digunakan nanti.

Juara FIM MiniGP Malaysia 2025 kategori 160cc itu ditemui pada majlis perjumpaan dan penyerahan sumbangan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini pada Isnin.

Sementara itu, Fadzli yang mewakili kerajaan negeri menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada pelumba cilik pertama dari Pahang yang akan berlumba mewakili negara di peringkat dunia.

Menurutnya, pencapaian Al-Adam Mikail dalam tempoh hampir tiga tahun cukup membanggakan termasuk menjuarai FIM MiniGP Malaysia 2025 kategori 160cc di Sepang, sekali gus melayakkan diri ke Valensia pada pertengahan bulan ini.

Justeru katanya, kerajaan negeri tampil membantu sebagai tanda sokongan kepada usaha dan perjuangan pelumba cilik kebanggaan Pahang tersebut.