JOHOR BAHRU – Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura kini mencapai kemajuan 65 peratus dengan struktur Stesen Bukit Chagar, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta Kompleks Kastam hampir siap sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerja pembinaan berjalan lancar apabila struktur jejambat telah disiapkan sebanyak 91 peratus, manakala pembinaan stesen mencapai 73 peratus dan CIQ berada pada tahap 76.8 peratus.
“Perkembangan projek ini amat positif. Hari ini saya berpeluang meninjau sendiri tapak dan melihat struktur yang sudah siap sehingga ke aras platform.
"Ia menandakan projek ini semakin menghampiri realiti,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kemajuan RTS Link di Stesen Bukit Chagar, di sini pada Isnin.
Menurutnya, set tren pertama RTS dijangka tiba di Depoh Wadi Hana pada pertengahan November ini, manakala ujian pergerakan awal bakal dijalankan sekitar Disember.
"RTS Link disasarkan siap sepenuhnya menjelang 31 Disember 2026 dan beroperasi kepada orang awam pada Januari 2027," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Sdn Bhd (RTSO), Dr Ahmad Marzuki Ariffin berkata, pembangunan sistem dan operasi keseluruhan kini juga telah mencecah 65 peratus.
Katanya, satu set tren akan dibawa dari Singapore Rail Test Track, manakala tiga lagi akan dihantar dari kilang pembuatannya di Batu Gajah sebelum akhir tahun ini.
“Secara keseluruhan, sebanyak lapan set tren empat gerabak akan digunakan apabila operasi penuh dimulakan kelak.
“Fasa ujian dinamik dan pergerakan bebas tren dijangka bermula pada Julai 2026 bagi memastikan semua sistem, termasuk keselamatan, lif, eskalator, proses kastam dan imigresen berjalan lancar,” jelasnya.