KUALA LUMPUR – Kes pecah amanah bagi projek Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) berjumlah RM145.5 juta yang dihadapi seorang pengarah syarikat, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pada Isnin.
Itu menjadikan Abu Sahid berdepan lima kes pecah amanah berjumlah RM458.6 juta dan 13 pengubahan wang haram mencecah RM139.2 juta.
Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan satu tuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
“Susulan itu, saya mohon mahkamah membacakan semula pertuduhan pindaan terhadap tertuduh.
“Berhubung jaminan, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengguna pakai ikat jamin dan syarat yang sama diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya.
Semasa prosiding, Datuk Jasbeer Singh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.
Selepas Abu Sahid, 74, mengulangi pendirian tidak bersalah, mahkamah menetapkan 8 Januari 2026 untuk sebutan semula kes.
Pada 8 dan 24 September lalu, Abu Sahid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dan Shah Alam atas lima pertuduhan pecah amanah dan 13 pertuduhan ubah wang haram berkaitan projek berkenaan, sembilan tahun lalu.
Bagi lima tuduhan pecah amanah, Abu Sahid didakwa sebagai ejen iaitu Pengarah Maju Holdings yang diamanahkan dengan wang milik syarikat, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM145.55 juta, RM91.5 juta, RM171.5 juta, RM49.6 juta dan RM500,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa bank di Bukit Tunku dan Taman Serdang Perdana, antara 4 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Bagi 13 tuduhan pengubahan wang haram iaitu kes pertama hingga ke-10, beliau didakwa memindahkan hasil aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan, antara 4 Mei 2016 hingga 29 Oktober 2019.
Bagi baki tiga tuduhan pula, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 17 keping cek daripada akaun bank miliknya antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta (yang mana lebih tinggi) jika disabitkan kesalahan.