GEORGE TOWN - Malaysia menyeru negara-negara anggota ASEAN memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pengkomersialan harta intelek (IP) sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau selain meningkatkan kesedaran dan akses kepada perlindungan IP untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Riduan Rubin berkata, meskipun pendaftaran IP di rantau ini semakin meningkat, hanya sebahagian kecil yang berjaya diterjemahkan kepada produk pasaran dan aset pelaburan.
“Nilai sebenar harta intelek bukan sekadar pada pendaftarannya, tetapi sejauh mana ia mampu diterjemah kepada pelaburan, akses pasaran dan pertumbuhan ekonomi.
"ASEAN perlu bergerak ke arah memastikan IP bukan hanya dilindungi, tetapi diaktifkan,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat ke-77 Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Kerjasama Harta Intelek (AWGIPC) di sini pada Isnin.
Beliau turut menegaskan tiga fokus utama ke arah memperkukuh ekosistem IP ASEAN iaitu memperkasa akses IP untuk PKS melalui proses lebih telus dan mudah.
"Antara fokus lain adalah membangunkan rangka kerja penilaian dan pengkomersialan IP bagi menarik pelaburan dan mengintegrasikan agenda IP dalam pembangunan lestari termasuk inovasi hijau dan reka bentuk mampan," ujarnya.
Menurutnya, Pulau Pinang terus kekal sebagai pemacu inovasi negara dengan 1,354 permohonan IP direkodkan dari Januari hingga September tahun ini, termasuk 130 paten dan 82 reka bentuk perindustrian, didorong sektor semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E).
“Pulau Pinang adalah contoh nyata aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju global semikonduktor,” katanya.
Beliau berkata lagi, Malaysia turut memperkukuh rangka kerja penilaian IP dengan kerjasama institusi kewangan dan pakar bagi membolehkan aset IP menjadi instrumen pembiayaan perniagaan pada masa depan.
Dalam pada itu, mesyuarat kali ini juga mencatat sejarah dengan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN.
“Kemasukan Timor-Leste mencerminkan komitmen ASEAN terhadap inklusiviti dan kemajuan.
"Kita yakin ia akan menyumbang perspektif segar dalam ekosistem IP serantau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, Malaysia komited dalam memperkukuh ekosistem harta intelek serantau dengan memberi penekanan kepada inovasi, inklusiviti dan pembangunan mampan selaras dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Menurutnya, Mesyuarat ke-77 Kumpulan Kerja ASEAN mengenai AWGIPC menjadi platform penting bagi memperkasakan peranan harta intelek dalam memacu ekonomi ASEAN.
“AWGIPC telah sekian lama menjadi tonggak kerjasama serantau dalam bidang harta intelek, memastikan ASEAN maju dalam strategi inovasi, penyelidikan dan daya saing.
"Tahun ini membawa makna lebih besar kerana Malaysia bukan sahaja menjadi tuan rumah, tetapi turut memegang Pengerusi ASEAN,” katanya.
Menurutnya, fokus utama Malaysia ialah memastikan inovasi dan perlindungan harta intelek tidak terhad hanya di bandar utama atau sektor teknologi tinggi sebaliknya turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil, kreatif dan komuniti di seluruh rantau.
“Setiap idea mempunyai nilai, dan setiap pencipta berhak menerima perlindungan.
"Aspirasi kita adalah membangunkan ekosistem IP yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Mesyuarat AWGIPC ke-77 di Pulau Pinang itu menghimpunkan wakil negara ASEAN bagi merangka kerjasama strategik dalam pembangunan dan perlindungan harta intelek.