KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi dan bantuan ke atas barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah tersebut bertujuan mengelakkan ketirisan serta menjamin barangan bersubsidi hanya dinikmati oleh golongan benar-benar memerlukan seperti yang dilaksanakan menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan subsidi diesel.
"Buat masa ini keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran bahan api sebagai asas kepada penstrukturan subsidi yang lebih menyeluruh.
"Kerajaan juga telah melaksanakan beberapa langkah termasuk meningkatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan barangan bersubsidi sampai kepada kumpulan sasar," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai cadangan memperluas barangan subsidi lain selain diesel dan petrol.
Dalam pada itu Hui Ying menjelaskan, kerajaan akan sentiasa memastikan keberadaan barangan bersubsidi di setiap siri program Jualan Rahmah Madani.
"Bagi tahun 2025, program ini akan diperluaskan daripada sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan parlimen kepada sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi 600 kawasan di seluruh negara.
"Oleh itu barangan bersubsidi akan lebih mudah diakses terutamanya di kawasan yang mungkin tidak mudah didapati di kedai runcit biasa," ujarnya.