Siapa dominan pada PRN17 Sabah?

Iklan
PRN ke-17 Sabah bukan sekadar pertarungan parti tetapi ujian siapa benar-benar memahami denyut nadi rakyat di negeri bawah bayu. - Gambar hiasan

PILIHAN Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah bukan sekadar pertandingan antara parti, tetapi medan ujian sebenar kepada siapa yang paling memahami denyut rakyat negeri di bawah bayu. Di tengah kempen pembangunan dan slogan perubahan, Sabah kini menjadi gelanggang paling kompleks dalam politik Malaysia tempat naratif tempatan dan nasional bertarung untuk memenangi pengaruh dan kepercayaan rakyat.

Pertarungan muktamad GRS - BN

Iklan
Iklan

Selepas tiga tahun memerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdepan tekanan hebat daripada bekas sekutu lamanya, Barisan Nasional (BN). BN Sabah di bawah pimpinan baharu sudah menyatakan niat bertanding sekurang-kurangnya 32 kerusi - tanda jelas tiada lagi ruang kompromi. Kini, persoalannya bukan lagi kerjasama, tetapi siapa akan menjadi kuasa teras baharu yang menentukan hala tuju Sabah.

Sejak 2020, politik Sabah memperlihatkan bagaimana gabungan yang terbina atas semangat perpaduan boleh retak apabila kepentingan bercanggah. BN berasakan mereka dipinggirkan dalam agihan kuasa, manakala GRS pula cuba menonjol sebagai suara baharu Sabah. Kedua-duanya kini berebut bukan sekadar kerusi, tetapi hak menjadi wajah sebenar ‘politik tempatan’.

Iklan

Peranan penting PH

Sebagai kerajaan penyandang, GRS memiliki kelebihan jentera dan hubungan dengan kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Melalui kerjasama tidak rasmi dengan Pakatan Harapan (PH), GRS memperkukuh kestabilan politik Sabah sambil memanfaatkan sokongan dasar-dasar Malaysia Madani.

Iklan

Namun, prestasi tidak cukup tanpa kepercayaan. Isu integriti, pengurusan sumber, dan projek pembangunan yang tidak sekata menimbulkan persepsi bahawa kemajuan belum dirasai sepenuhnya oleh rakyat luar bandar. Rungutan seperti ‘jalan sudah ada, tapi air masih ikut musim’ menggambarkan jurang antara dasar dan realiti.

Di sinilah peranan penting PH membantu memastikan dasar pembangunan persekutuan benar-benar sampai kepada rakyat Sabah, sekali gus menjadi jambatan politik antara negeri dan pusat.

BN: Antara nostalgia dan reformasi

BN Sabah kini tampil dengan wajah baharu dan slogan pembangunan berdisiplin, cuba mengembalikan imej stabiliti yang pernah menjadi kekuatannya. Namun cabaran utama BN ialah membuktikan ia sudah berubah, bukan sekadar bergantung pada nostalgia. Untuk kekal relevan, BN perlu tampil dengan naratif yang menepati aspirasi dan masa depan pengundi muda.

Semangat lama ujian baharu

Warisan pula menghidupkan kembali semangat ‘Sabah untuk Sabah’ dengan tumpuan pada autonomi dan kedaulatan ekonomi negeri. Walaupun kehilangan ramai tokoh, parti ini masih berakar di pantai timur dan selatan. Namun, Warisan perlu melawan persepsi bahawa ia sinonim dengan ketidakstabilan lampau. Untuk kembali, Warisan mesti meyakinkan pengundi bahawa ia bukan parti nostalgia, tetapi alternatif berdisiplin yang matang.

Penentu kuasa

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mungkin kecil, tetapi sering menjadi penentu kuasa. Dengan pengaruh di pedalaman, Datuk Seri Jeffrey Kitingan kekal sebagai pemain penting yang memperjuangkan agenda Sabah-first. Namun, generasi muda kini menilai lebih kepada hasil berbanding simbol perjuangan, menjadikan survival STAR bergantung pada sejauh mana ia menyesuaikan diri dengan kehendak semasa.

Tiga faktor penentu PRN17

1. Pengundi muda dan atas pagar. Kajian Vodus Research (Jun 2025) menunjukkan 32 peratus pengundi Sabah masih belum pasti pilihan mereka - kumpulan inilah akan menentukan kerajaan baharu.

2. Isu pembangunan asas dan kos hidup. Air, jalan, elektrik dan peluang kerja kekal isu utama. Retorik tidak lagi laku tanpa penyelesaian nyata.

3. Hubungan pusat–negeri. GRS–PH cuba menonjol sebagai ‘rakan strategik’ kerajaan MADANI, manakala BN dan Warisan pula berlumba menunjukkan siapa lebih tegas memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63.

Sabah kini melangkah ke fasa politik baharu - wajah lama masih mendominasi, namun suara muda semakin kuat. Di warung kopi dan pasar kecil, bicara rakyat kini lebih realistik: tentang tanah, air, dan masa depan anak-anak. Rakyat semakin celik. Mereka tahu mana janji yang boleh membawa hasil dan mana janji yang sekadar slogan.

Politik realistik

PRN17 bukan sekadar pertarungan GRS dan BN, tetapi juga penilaian terhadap peranan PH sebagai jambatan kestabilan, serta kelangsungan Warisan dan STAR dalam peta baharu. Kemenangan kali ini bukan lagi milik mereka yang paling lantang bersuara, tetapi mereka yang paling dekat dengan suara rakyat. Sama ada GRS mempertahankan kuasa dengan sokongan PH, BN membuat kebangkitan, atau Warisan–STAR menjadi penentu, PRN17 bakal menjadi referendum terhadap keikhlasan politik di bumi Sabah.

* Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)