Isu pemain warisan: Jamal Nasir ingatkan penyokong kekal realistik

Iklan
Jamal Nasir

LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, menasihatkan penyokong Harimau Malaya supaya kekal realistik dan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut bekas pertahanan kebangsaan itu, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sendiri sudah menjelaskan bahawa keputusan badan induk dunia itu hampir mustahil untuk diubah sekali gus menutup ruang besar untuk sebarang kejutan.

Iklan
Iklan

“Buat apa nak tunggu lagi sebab TMJ sendiri sudah cakap, keputusan FIFA takkan berubah. Baginda pun sebut, paling kuat pun mungkin hukuman boleh diringankan sedikit,” katanya selepas tular segelintir peminat yang sanggup berjaga malam menanti keputusan rayuan FAM berhubung penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Jelas bekas benteng pasukan Pahang era 80-an itu, tindakan tersebut tidak rasional kerana keputusan berkenaan bukan sesuatu yang boleh berubah secara mendadak.

Iklan

“Saya tak nampak rasionalnya sampai perlu tunggu tengah malam seolah-olah ada keajaiban berlaku.

“Sejujurnya kita kena terbuka dan terima saja keputusan itu. Kalau kalah rayuan pun, FAM boleh teruskan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Yang penting, penyokong jangan cepat melatah,” tegasnya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan keputusan rayuan itu masih belum diumumkan seperti dijangka pada 30 Oktober lalu, selepas peguam antarabangsa FAM, Serge Vittoz, memaklumkan tarikh berkenaan pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 17 Oktober lalu.

Namun, keputusan sebenar dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA selesai meneliti keseluruhan proses perbicaraan, malah tiada tempoh masa dinyatakan dalam dokumen rasmi Motivated Decision setebal 26 muka surat.

Sebelum ini, TMJ turut menegaskan bahawa peluang FAM mencabar keputusan FIFA dalam isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan amat tipis dan sekiranya ada perubahan sekalipun, hanya melibatkan pengurangan hukuman dan bukan pembatalan sepenuhnya.