GEORGE TOWN - Mahsuri Dagang Sdn Bhd dengan kerjasama Kolej SEGi Pulau Pinang telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan Spread the Love Bento 3.0 - Share a Meal, Share the Love! sempena sambutan Hari Makanan Sedunia 2025 bagi menyemai semangat berkongsi rezeki dan prihatin terhadap masyarakat.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan bersama EcoChef Club Kolej SEGi Pulau Pinang itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang amalan masakan lestari, pengurangan pembaziran makanan serta kepentingan keselamatan makanan di peringkat komuniti.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program inisiatif CSR bersama Kolej SEGi Pulau Pinang julung kali diadakan hasil perancangan yang bermula sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, seramai 15 pelajar kulinari mengambil bahagian dalam pertandingan penyediaan kotak bento menggunakan produk Mahsuri seperti Kicap Lemak Manis, Sos Tiram dan Sos Manis Pedas Mahsuri.
“Resipi pemenang digunakan dalam penyediaan 160 kotak bento yang diagihkan kepada empat rumah kebajikan sekitar George Town,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohd Jazri berkata, pihak Mahsuri turut menyumbangkan produk sos serta dana bagi penyediaan bahan masakan termasuk beras, sayur-sayuran dan barangan keperluan lain.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Kolej SEGi Pulau Pinang dalam usaha mengeratkan hubungan komuniti pelbagai kaum.
“Ini mencerminkan imej Mahsuri sebagai jenama inklusif yang diterima semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengetua Kolej SEGi Pulau Pinang, Dr Leong Mi-Chelle berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat, tetapi juga memperkukuh nilai serta kemahiran insaniah mereka.
“Acara hari ini berteraskan CSR dan kami di SEGi Pulau Pinang, bukan hanya menumpukan kepada pengajaran di dalam kelas, ia bukan sekadar belajar daripada buku teks, tetapi juga tentang membentuk nilai yang perlu ada apabila pelajar menamatkan pengajian.
“Kami juga mahu pelajar menjadi ahli komuniti yang bertanggungjawab malah mendedahkan mereka isu sebenar di dunia luar serta belajar bagaimana setiap individu boleh memainkan peranan kecil untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah beliau, aktiviti di luar kolej seperti ini membantu pelajar mengasah kemahiran abad ke-21 seperti kerjasama berpasukan, komunikasi, kreativiti dalam penyediaan dan pembungkusan makanan, serta pemikiran kritikal iaitu kemahiran paling penting dalam dunia yang penuh dengan maklumat hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut wakil Iconic Hotel Penang, JCI Tanjung Bunga, Access to Excess Solutions dan Tanuki Japanese Canteen yang turut berganding bahu menjayakan program berkenaan.