Terap sifat amanah sejak bangku sekolah bendung rasuah

Iklan
Terap sifat amanah sejak bangku sekolah untuk membendung rasuah. Gambar hiasan. Gambar kecil: Ibni Khalid.

SHAH ALAM - Penerapan awal tentang nilai murni, etika, akhlak dan amanah di peringkat tadika mahupun sekolah perlu diperkasakan lagi dalam usaha membendung gejala rasuah serta salah guna kuasa.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Negeri Selangor, Ibni Khalid Jurait berkata, jenayah rasuah akan terus-menerus berlaku selagi keempat-empat elemen itu tidak ‘dicanai’ dengan baik.

Iklan
Iklan

Mengambil contoh kes terbaharu iaitu pegawai polis berpangkat Inspektor dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000, Ibni Khalid berpendapat ia hasil daripada ketiadaan elemen nilai murni, etika, akhlak serta amanah yang dimaksudkan.

“Setelah jadi buluh (sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi awam) baharu nak mula mendidik, memang dah terlambat.

Iklan

“Kenapa negara luar seperti Scandinavia atau Jepun rendah rasuah?

“Ini kerana mereka dididik nilai-nilai murni, etika, akhlak dan amanah sejak berusia tiga tahun lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000 akibat menerima rasuah sebanyak RM23,000.

Tertuduh turut berdepan hukuman dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Mohd Azhar Othman selepas tertuduh mengaku bersalah bagi satu pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima rasuah RM15,000, manakala bagi pertuduhan kedua didakwa menerima wang tunai RM8,000 melalui pindahan ke akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun miliknya isterinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 26 Februari 2021 di institusi perbankan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pemuda itu mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif kedua, manakala pertuduhan pertama diambil pertimbangan atau Take Into Consideration (TIC) selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Ibni Khalid berpendapat, pihak atasan dinasihatkan supaya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan anggota polis pangkat bawahan di samping memantau gerak kerja mereka agar tiada unsur memberi dan menerima rasuah semasa bertugas.

“Atasan kena menyedari hakikat bahawa anggota bawahan bekerja dan bersedia untuk 24 jam. Mereka juga ada keluarga dan tanggungjawab.

“Gaji pokok yang rendah membuatkan mereka tertekan hidup di bandar, hingga akhirnya menerima rasuah tanpa fikir panjang.

“Apabila ditangkap, pemimpin berpangkat tinggi terlepas tapi anggota bawahan dikenakan macam-macam tindakan,” ujarnya.