'Ikan semua mati, kami tak dapat turun ke sungai'

Iklan
Majid menunjukkan ikan sungai yang mati akibat pencemaran yang berlaku di hulu Sungai Johor.

KOTA TINGGI – “Sudah tiga hari kami tidak turun ke sungai. Semua ikan dalam sangkar habis mati, air sungai jadi putih macam susu.”

Demikian luahan Tok Batin Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Majid Jantan, apabila lebih satu tan ikan di hilir Sungai Johor mati dipercayai akibat pencemaran dari kolam sebuah tapak perlombongan berhampiran yang pecah pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi itu menyebabkan penduduk kampung yang majoritinya merupakan nelayan tidak dapat turun ke sungai untuk menangkap ikan sekali gus hilang punca pendapatan.

“Kami bergantung sepenuhnya pada hasil sungai. Tapi sejak air jadi keruh, putih dan berbau busuk, kami langsung tak boleh bekerja.

Iklan

"Di hilir Sungai Johor boleh nampak semua ikan timbul dengan bau busuk. Pencemaran kali ini agak teruk. Sebelum ini, kalau tercemar pun hanya dua atau tiga hari.

"Tetapi bila lihat keadaan sungai sekarang, proses untuk pulihkan sungai akan ambil tempoh masa yang lama," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Iklan

Antara ikan yang mati tersangkut pada akar pokok dan keadaan air di hulu Sungai Johor yang tercemar.

Seorang lagi nelayan, Mazuri Mat, 39, turut terkesan apabila ikan yang sepatutnya dijual diletakkan dalam sangkar di sungai tersebut telah mati.

“Saya ada empat anak, tiga masih bersekolah. Bila semua ikan mati, memang lumpuh terus sumber rezeki kami.

"Saya sendiri nampak ikan besar kecil timbul, ada yang tersangkut di dahan, ada yang hanyut dibawa arus,” katanya sebak.

Pada Sabtu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan ‘bund silt pond’ atau kolam takungan sedimen daripada aktiviti pengorekan pasir di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi, telah pecah.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, susulan itu, pihak Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) telah mengarahkan operasi korek pasir itu dihentikan serta-merta.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata paras kekeruhan air Sungai Johor direkodkan meningkat kepada 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU), berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Katanya, kerajaan negeri telah meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan menurunkan tahap kekeruhan.

Insiden berkenaan turut menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA) termasuk LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA PUB Singapura, yang berisiko menyebabkan gangguan bekalan air di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai.

Pemantauan rapi sedang dijalankan oleh Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ranhill SAJ bagi memastikan keadaan kembali pulih.