JOHOR BAHRU – Hanya dalam tempoh dua minggu, seramai 1,160 penduduk Kampung Melayu Majidee menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan terhadap petisyen untuk menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff berkata, petisyen itu akan diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Johor.
“Tandatangan yang dikumpulkan pada petisyen kali kedua ini menunjukkan penduduk betul-betul mahu hak milik kekal, bukan sekadar sambungan pajakan.
"Maksudnya di sini, tiada perkataan putus asa kerana kita mahukan jawapan. Sekiranya kerajaan negeri tidak meneruskannya, kita akan buat rayuan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Pengkisahan Kampung Melayu Majidee oleh Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Johor, Kamdi Kamil di Balairaya Stulang Baru pada Ahad.
Abdul Rahim menjelaskan walaupun kerajaan negeri dilihat bersedia menyambung tempoh pajakan, penduduk tetap mahu jaminan hitam putih bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan kepentingan penduduk dan orang Melayu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, setakat ini lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah bersetuju membawa isu berkenaan ke sidang DUN Johor pada pertengahan bulan ini.
"Kita mahu isu ini dibahaskan supaya kerajaan negeri mengambil tindakan yang positif untuk pastikan hasrat penduduk agar Kampung Melayu Majidee kekal sebagai warisan Melayu di kawasan bandar Johor Bahru," katanya lagi.
Beliau menambah, majoriti penduduk kini terdiri daripada generasi kedua dan ketiga yang kekal bersemangat bersama Perkam untuk mempertahankan tanah warisan mereka.
"Untuk pertemuan hari ini, apa yang saya dapat lihat dan rumuskan ialah semangat penduduk masih kuat. Secara tidak langsung, bukan sahaja kesedaran, malah keinginan untuk meneruskan permohonan bagi mendapatkan hak milik kekal masih membara dalam diri masing-masing.
"Penduduk juga berpandangan, jika ada kampung warisan diiktiraf oleh UNESCO, mengapa pula Kampung Melayu Majidee yang merupakan satu-satunya kampung warisan Melayu yang masih wujud di bandar Johor Bahru tidak boleh dijadikan sebagai Kampung Warisan Melayu bandar ini?," katanya.
Pada 20 April lalu, media melaporkan bahawa lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Tempoh pajakan TRM Kampung Melayu Majidee dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.
Perkam sebelum ini telah menghantar petisyen serta permohonan rasmi kepada Menteri Besar Johor pada 8 September tahun lalu bagi menukar status tanah kampung itu kepada TRM hak milik kekal.
Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.