MALAM itu, lampu di Auditorium Seri Angkasa berkilau seperti kenangan kolektif industri yang lama menanti pengiktirafan. Di pentas utama barisan pengarah, pelakon dan kru duduk merenung dan menatap layar yang bukan sekadar memantulkan cahaya, tetapi harapan. Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) kembali dengan tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik.”
Ia lebih daripada sekadar slogan. Ia seperti doa. Pada masa yang sama ia bagai cermin besar yang memaksa kita bertanya: bukan siapa menang, tetapi siapa kita di sebalik cerita yang kita sendiri ciptakan.
Pentas yang menyaksikan evolusi
FFM34 bukan sekadar acara tahunan; ia barometer perubahan budaya visual Malaysia. Tahun ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperkenalkan kategori baharu, Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.
Suatu pengiktirafan terhadap tubuh yang terluka demi seni, terhadap keberanian yang jarang dirakam sebagai “estetika”.
Sebanyak 66 filem cereka bertanding untuk pelbagai kategori utama. Lima calon akhir bagi Filem Terbaik ialah Babah, Blood Brothers: Bara Naga, Reversi, Takluk: Lahad Datu dan Soloz: Game of Life.
Akhirnya, Babah terbitan Nads Media Entertainment Sdn Bhd diumumkan sebagai Pemenang Filem Terbaik FFM34, sekali gus merangkul enam trofi termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, dan Pengarah Harapan Terbaik.
Dalam dunia digital yang bising dengan komentar, perbualan tentang FFM tidak lagi terbatas pada ruang auditorium. Ia meletup di media sosial di mana penonton menjadi pengulas, dan penggiat menjadi pembela.
Beberapa pengarah muda menulis, “FFM bukan sekadar anugerah, ia medan tafsir siapa yang menentukan makna seni di negara ini?”
Filem Blood Brothers: Bara Naga misalnya, memperoleh pencalonan terbanyak (13 kategori) dan memenangi enam anugerah termasuk Pengarah Terbaik (Syafiq Yusof & Abhilash Chandra) serta Anugerah Khas Box Office selepas mengutip RM73.64 juta di pawagam. Ia menandakan sinema aksi komersial kini semakin mendapat pengiktirafan di pentas rasmi.
Sebaliknya, Babah pula menjadi lambang bahawa kejujuran naratif dan nilai kekeluargaan masih mampu menewaskan kekuatan komersial. Ini mencerminkan kesedaran baharu bahawa sinema bukan hanya hiburan — tetapi perbualan kebangsaan tentang siapa yang berhak mewakili jiwa warga negara ini.
FFM sebagai ritual
Dalam perubahan landskap tontonan dari pawagam ke skrin telefon, FFM berfungsi seperti ritual tahunan yang mengingatkan kita bahawa sinema masih wujud sebagai pengalaman bersama.
FINAS turut menghidupkan kembali semangat penghargaan kepada tokoh veteran. Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang dianugerahkan kepada Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, tokoh yang menjadi saksi perjalanan panjang perfileman negara adalah buktinya.
Juga junjungan tinggi kepada bapa animasi Malaysia, Hassan Abd Muthalib menerusi Anugerah Khas Karyawan yang membawa pemikiran besar khalayak kepada kedudukan animasi, digital, kecerdasan buatan dalam sinema negara.
Malam anugerah bukan sekadar pesta, tetapi juga upacara penghormatan terhadap industri — kepada mereka yang pernah menulis, mengarah, menyunting dan berjuang ketika dunia belum digital. Dalam konteks ini, FFM bukan hanya menilai filem; ia menilai sejarah.
Falsafah Sinema: antara bayangan dan makna
Falsafah filem sentiasa berputar di antara dua soalan besar: Apakah yang nyata, dan apakah yang diimaginasi? Jean-Luc Godard yang terkenal dengan French New Wave Movement menyatakan, “filem bukan cermin realiti, tetapi tukul untuk membentuknya.”
FFM34 memperlihatkan hakikat itu. Setiap karya yang ditayangkan bukan hanya mencerminkan masyarakat, tetapi juga cuba membentuknya menyoal norma, menggugat sistem, menafsir makna “kemodenan” dari sudut pandang tempatan.
Dalam falsafah estetika, sinema dianggap bahasa yang bercakap tanpa kata. Ia membentuk perasaan sebelum pemikiran. Dari sudut itu, filem Malaysia yang baik bukan semestinya yang sempurna teknikalnya, tetapi yang berani jujur terhadap kemanusiaan.
Seperti Babah yang membina naratif sederhana namun meninggalkan gema mendalam tentang kasih ayah dan pengorbanan. Dalam dunia di mana gambar bergerak lebih cepat dari renungan, FFM menjadi peluang untuk berhenti sejenak — untuk bertanya: Apakah makna kita sebaga pembikin imej?
Antara komersialisme dan kejujuran
Realiti industri filem Malaysia masih berperang dengan dua kuasa besar: pasaran dan idealisme. Ada filem yang lahir untuk menembusi “box office” dan ada yang lahir untuk bertanya. Kedua-duanya sah - tetapi festival seperti FFM perlu mengekalkan keseimbangan antara keuntungan dan kejujuran.
Jika New Journalism pernah mengajarkan bahawa fakta boleh diceritakan dengan emosi, maka sinema Malaysia juga perlu belajar bahawa emosi boleh dibentuk dengan kejujuran bukan manipulasi.
Dalam hal ini, FFM34 wajar menjadi ruang dialog antara pembikin dan penonton, antara industri dan idealisme. Dialog itu penting, kerana seperti kata sutradara Iran Abbas Kiarostami, “kebenaran dalam filem bukanlah realiti, tetapi perasaan yang benar.”
Filem yang baik bukan sahaja membawa penonton masuk ke dalam cerita, tetapi membawa mereka keluar — lebih memahami diri dan masyarakatnya.
Di FFM34, kita melihat kepelbagaian bentuk dan tema: dari aksi epik Blood Brothers: Bara Naga, kepada keintiman keluarga dalam Babah, hingga kepada percubaan eksperimental seperti Reversi dan Soloz: Game of Life. Ini menandakan bahawa sinema Malaysia sedang bergerak ke arah pluralisme naratif, di mana setiap sutradara mentafsir “Malaysia” dari kaca matanya sendiri.
Dalam falsafah komunikasi, ini adalah bentuk naratif nasional yang sedang dinegosiasikan — satu dialog terbuka antara budaya, agama, dan kelas sosial. FFM secara tidak langsung, menjadi ruang wacana bagi imaginasi sebuah negara.
Anugerah dan makna
Apabila nama pemenang diumumkan dan sorakan bergema, kita sering lupa bahawa setiap calon membawa perjuangan yang sama: mahu difahami. Trofi hanyalah lambang. Nilai sebenarnya terletak pada keberanian untuk terus berkarya di tengah ketidaktentuan industri.
Penerbit veteran secara sinis berkata, “kita bukan bersaing untuk menang, kita bersaing untuk tidak hilang.” Dalam kata lain, FFM bukan sekadar malam kemenangan, tetapi upacara keberanian.
Apabila tirai ditutup dan lampu pentas malap, yang tinggal ialah soalan basi- apakah yang akan berlaku selepas ini?
FFM34 membuktikan bahawa sinema tempatan masih hidup walau tersepit antara tekanan pasaran dan idealisme seni. Ia hidup kerana masih ada yang menulis, mengarah, menonton, dan bermimpi.
Falsafah filem selalu mengingatkan bahawa setiap gambar yang bergerak adalah pantulan jiwa manusia. Jika begitu, FFM ialah cermin besar tempat warga kreatif menatap dirinya, melihat cacat dan cantik, melihat bangsa, melihat bahasa, melihat budaya, melihat luka, melihat benar, melihat jujur dan melihat cahaya yang belum padam - lalu belajar menulis semula maknanya di layar masa depan.
*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penulis dan pengkaji dalam bidang komunikasi strategik serta kewartawanan baharu. Beliau sering menulis tentang perubahan ekosistem media, budaya digital, dan naratif manusia dalam dunia yang semakin bising dengan maklumat.