'Abang cuba bawa traktor ketika tuan kebun keluar beli makanan'

Iklan
Mohd Alif Rafae menunjukkan gambar abangnya.

BALING - Mangsa yang maut akibat terjatuh dari traktor ketika membersihkan kebun di Kampung Bukit Rawa Sedim di sini pernah menyatakan hasrat ingin memandu jentera itu, dua hari sebelum kejadian.

Adik mangsa, Mohd Alif Rafae Md Yusof, 26, berkata, abangnya, Mohd Alif Farhan, 28, yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dikatakan pernah meminta izin untuk cuba memandu kenderaan itu, namun pemilik kebun tidak membenarkannya berbuat demikian.

Iklan
Iklan

Mohd Alif Farhan maut dipercayai terjatuh daripada traktor ketika melakukan kerja membersihkan kebun.

Menurutnya, mangsa tidak mempunyai pengalaman serta belum pernah mengendalikan kenderaan terbabit sebelum ini.

Iklan

"Tuan kebun cerita dua hari sebelum tu, abang minta nak bawa (memandu) tetapi tak bagi sebab dia tak pernah bawa.

"Masa kejadian berlaku, tuan kebun beritahu dia keluar sekejap nak beli makanan...mungkin masa tu arwah cuba bawa," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Baling pada Ahad.

Iklan

Mohd Alif Rafae berkata, pemilik kebun bagaimanapun terkejut apabila tiba semula ke kebun mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sementara traktor sudah beralih kedudukan sehingga ke tebing kebun.

Lokasi mangsa ditemukan maut dipercayai akibat terjatuh dari traktor.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian muka serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sejak dua hari lalu, mangsa dikatakan sedang membantu membersihkan kawasan itu dengan menarik pelepah sawit sementara kerja-kerja memotong rumput dilakukan pemilik menggunakan traktor.

"Kali terakhir kami jumpa masa saya pi rumah mak di Kampung Gelugor, Karangan malam sebelum kejadian. Sembang macam biasa...nampak lain macam pucat sahaja muka dia tetapi tak fikir apa pun," jelasnya.

Menurutnya, biarpun berstatus OKU, Mohd Alif Farhan disifatkan sebagai seorang yang ringan tulang dan rajin mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung.

Jenazah dijangka dikebumikan di Masjid Al- Huda Sedim selepas waktu Asar.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai terjatuh daripada traktor ketika melakukan kerja membersihkan kebun dekat Kampung Bukit Rawa Sedim di sini pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan pada muka.

Menurutnya, polis menerima maklumat kira-kira jam 4 petang selepas orang awam melihat lelaki itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah.