SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke negeri Pahang yang dijadualkan berlangsung pada Ahad selepas mengalami masalah sakit belakang.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pembatalan tersebut dibuat pada saat akhir atas nasihat pasukan perubatan selepas mengalami kesakitan yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas.
“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi.
"Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau," katanya.
Anwar dijadualkan untuk menghadiri bagi merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK 2025) di Temerloh, sebelum ke Program Temu Anwar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang.
Beliau seterusnya dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan.
Perdana Menteri berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Korea Selatan ketika beliau mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Sebelum itu, Anwar juga melalui jadual tugas rasmi yang padat termasuk mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dihadiri pemimpin-pemimpin dunia antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang di ibu negara dari 26 hingga 28 Oktober lalu.