KUALA LUMPUR – Seorang wanita menempuh detik hitam apabila dicabul di tempat letak kenderaan sebuah kelab malam di Jalan Metro Pudu 2 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berumur 33 tahun berhubung kejadian itu pada jam 8.09 pagi.
Iklan
Iklan
"Berdasarkan laporan, mangsa memaklumkan dirinya telah dicabul oleh seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 28 tahun.
"Kejadian didakwa berlaku di kawasan parkir kelab malam berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
"Setakat ini, belum terdapat sebarang tangkapan dilakukan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya.