Stor haram, premis jual ubat tidak berdaftar diserbu, rampasan lebih RM6 juta

Iklan
Pelbagai ubat dipercayai tidak berdaftar yang dirampas dalam operasi berkenaan.

KLANG – Kegiatan menyimpan serta menjual ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM6 juta berjaya dibongkar selepas dua stor haram dan empat premis diserbu dalam operasi khas di sekitar Klang minggu lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.

Iklan
Iklan

"Operasi dijalankan sekitar jam 11 pagi pada 23 Oktober lalu dengan bantuan CPF dari negeri Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan terhadap enam premis terbabit membawa kepada rampasan sebanyak 402 jenis ubat tidak berdaftar, termasuk produk keluaran luar negara yang dipercayai diperoleh daripada pembekal tidak sah untuk dijual di pasaran tempatan," jelas kenyataan itu.

Iklan

Antara ubat yang dirampas termasuk bahan perangsang seks (Sildenafil), antibiotik (Tetracycline dan Amoxicillin), steroid (Dexamethasone), pil kontraseptif (Ethinylestradiol/Levonorgestrel) dan antihistamin (Chlorpheniramine).

Stor haram dipercayai menjual ubat tidak berdaftar yang diserbu dalam operasi dijalankan.

Iklan

KKM turut memaklumkan, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan.

"Penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.

"Tindakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF JKNS dalam membanteras penjualan dan pengedaran ubat tidak berdaftar di pasaran bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin,” menurut kenyataan sama.

Dalam pada itu, KKM turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak status pendaftaran ubat melalui pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran ubat (MAL) sebelum membuat pembelian.

"Semakan boleh dilakukan di laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau dengan menghubungi talian 03-7883 5400.

"Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan berkenaan ubat meragukan melalui portal SisPAA di http://moh.spab.gov.my, mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan, atau talian 03-7841 3200," katanya.

Jelas kenyataan itu, sebagai langkah kesedaran awam, kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBATS) yang dilancarkan sejak 2024 terus diperkasa dalam usaha membanteras pembekalan dan penjualan ubat tidak sah di Malaysia.

"Maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi TOBATS di pautan https://pharmacy.moh.gov.my/tobats," katanya.