RAMAI mengakui Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitannya, antara paling bersejarah dan berjaya dalam sejarah rantau kita.
Minggu lalu, Malaysia menjadi tuan rumah kepada hampir seluruh dunia apabila pemimpin politik, ekonomi dan ketua-ketua masyarakat sivil dari Afrika, benua Amerika, Asia, Eropah serta Oseania berhimpun di Kuala Lumpur.
Dalam era perpecahan geopolitik dunia, dengan kehadiran negara seperti Amerika Syarikat (AS), China, India, Rusia, Brazil, Afrika Selatan dan negara-negara lain berkumpul di ibu negara kita, menandakan satu pencapaian hebat.
Ia satu peringatan bahawa ASEAN terus kekal relevan bukan sahaja sebagai sebuah blok serantau tetapi juga sebagai platform neutral untuk perundingan dan penghubung ekonomi utama.
Kehadiran Donald Trump dan termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) menarik perhatian ramai, namun hal itu sama sekali tidak menafikan pelbagai pencapaian Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Pertama, ASEAN kini mempunyai 11 ‘ahli keluarga’. Ia detik penuh emosi dan Malaysia berbangga kerana telah memudah cara kemasukan Timor-Leste ke dalam keluarga ASEAN.
Kedua, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama-sama kementerian lain yang berkaitan di bawah tonggak ekonomi akan dapat melengkapkan sebahagian besar daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) menjelang akhir 2025.
Usaha memperkukuh perdagangan intra dan antara rantau telah menerima rangsangan besar melalui penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) serta Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0). Langkah itu menyelaraskan ASEAN dengan perkembangan terkini dalam ekonomi digital dan hijau serta memperkukuh keterhubungan rantaian bekalan moden.
Kami juga yakin Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang disasarkan untuk dimeterai tahun depan akan menyediakan kejelasan dasar dalam semua aspek ekonomi digital, disokong oleh keterjaminan tenaga sebagaimana digariskan melalui Rangkaian Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid).
Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima, mesyuarat bersemuka pertama sejak ia berkuat kuasa.
Malaysia turut memuktamadkan rundingan FTA dengan Korea Selatan bersandarkan perdagangan dua hala bernilai AS$24 bilion pada 2024. Kami berharap ia akan membolehkan kerjasama lebih kukuh dalam bidang seperti elektrik dan elektronik (E&E), peralatan saintifik serta kecerdasan buatan (AI).
Segala pencapaian itu membuktikan Malaysia terus berkeupayaan untuk berinteraksi dengan semua blok global, selaras prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality). Bersama ASEAN, Malaysia menyediakan ruang bagi rundingan perdagangan antara AS dan China, menonjolkan peranan kita sebagai penghubung antara kuasa-kuasa besar.
Malaysia juga akan terus berpegang teguh kepada pendirian neutral geopolitik yang telah menjadi pegangan selama berdekad-dekad dan sokongan utuh untuk sebuah negara Palestin yang bebas serta merdeka.
Kembali kepada ART dan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Mineral Kritikal Malaysia yang telah ditandatangani antara Malaysia dan AS. Merujuk kepada semua analisis yang telah ditawarkan selepas menandatangani ART, persoalan utama adakah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pekerja dalam ekosistem eksport Malaysia-AS kita dalam keadaan lebih baik apabila kehilangan akses kepada pasaran eksport terbesar kita (bernilai hampir RM200 bilion)?
Dalam konteks lain, AS juga telah menjadi salah satu sumber terbesar pelaburan asing kami, yang secara kumulatif berjumlah RM218.2 bilion bagi pelaburan diluluskan pada 2024. Hakikatnya, tarif 19 peratus yang kami capai menjadikan Malaysia setanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, malah lebih baik dari Vietnam dan Bangladesh (dikenakan 20 peratus).
Tetapi ujian sebenar bagi mana-mana perjanjian ialah dari segi impak di peringkat akar umbi. Berapa banyak pekerjaan akan kita korbankan jika kita tidak memperoleh pengecualian 19 peratus untuk eksport tersebut?
Bagaimana pula jika kita tidak memperoleh pengecualian tarif untuk kira-kira 1,711 barangan eksport penting Malaysia termasuk minyak sawit, getah, koko dan beberapa komponen farmaseutikal serta peralatan aeroangkasa? Apakah risiko kepada eksport AS ini yang secara kumulatif bernilai AS$5.2 bilion atau 12 peratus daripada jumlah eksport kami?
Satu lagi perkara penting ialah bagaimana AS akan mempertimbangkan ART secara positif berhubung dengan penyiasatan Seksyen 232 di bawah Trade Expansion Act mereka – yang pada dasarnya akan memberi panduan kepada pentadbiran Trump dalam memutuskan tarif ke atas semikonduktor kelak, sektor eksport terbesar Malaysia.
Tambahan pula, hubungan dua hala AS-Malaysia kini merupakan Perkongsian Strategik Komprehensif yang meletakkan kita dalam kumpulan negara terpilih, dan memberikan kita prospek untuk pemindahan teknologi. Malaysia juga telah diiktiraf sebagai rakan kongsi rantaian bekalan dipercayai yang akan terus meningkatkan daya saing ekonomi kita.
Diputar belit
Kritikan menuntut suara tetapi pelaksanaan menuntut visi, keberanian dan komitmen tidak berbelah bahagi. Saya sangat kesal melihat pembacaan terpilih dan maklumat salah digunakan secara terang-terangan terhadap ART terutama seperti Artikel 5.1 yang telah diputar belit.
Hakikatnya, artikel itu hanya mewajibkan kita untuk bertindak jika kita berkongsi kebimbangan sama dengan AS. Sebarang tindakan yang kita ambil akan berdasarkan undang-undang Malaysia dan garis masa kita sendiri. Terus terang saya berkongsi, Artikel 5.1 menjamin ‘ruang terbuka’ berterusan untuk perbincangan dan penyelesaian beberapa isu.
ART juga tidak menghalang kita daripada menjalin hubungan komersial dengan mana-mana negara lain atau memberikan eksklusiviti kepada AS dalam apa juga cara termasuk untuk nadir bumi.
Berkenaan pelbagai pertimbangan komersial, perlu ditegaskan perolehan barangan atau perkhidmatan oleh syarikat-syarikat Malaysia telah pun dirancang, manakala pelaburan modal di AS tetap akan dilaksanakan berdasarkan pulangan pelaburan yang secara amnya lebih tinggi.
Kita juga tidak mengabaikan pensijilan halal, sebaliknya komited untuk memudahkan kemasukan produk AS yang mematuhi piawaian ketat ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Undang-undang dan keupayaan kita untuk bertindak sebagai sebuah negara berdaulat kekal utuh. Begitu juga kapasiti Malaysia bagi melindungi ekonomi, pekerja dan agenda nasionalnya. Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi mengenai isu garis-garis merah ini.
Situasi kita hadapi adalah tidak ideal. Seluruh dunia dilanda tarif unilateral dan hampir semua negara termasuk Malaysia terpaksa berunding untuk mengekalkan akses pasaran yang penting. ART ialah mengenai menunaikan tanggungjawab utama kerajaan – melindungi jutaan mata pencarian rakyat Malaysia semasa tempoh sukar bagi dunia.
Saya juga perlu ulangi situasi ini mungkin tidak dapat diselesaikan tanpa tindakan pantas pasukan perunding Malaysia yang telah menggabungkan pelbagai kepakaran dan pengalaman.
Secara keseluruhannya, ia perjanjian terbaik yang dapat dicapai bagi kepentingan jangka panjang Malaysia. Apa yang Malaysia perlukan daripada semua rakyat ialah semangat bersatu padu untuk mempertahankan negara kita, bukannya laungan politik murahan.
Laluan ke hadapan penuh cabaran. Namun, dalam konteks kelangsungan ekonomi dan pengekalan pekerjaan di Malaysia, perjanjian tersebut satu-satunya jalan ke hadapan untuk negara, bukan sahaja untuk terus bertahan, malah terus maju ke hadapan.
*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri