Perjanjian AS tidak paksa Malaysia akur membuta tuli

Iklan
Tengku Zafrul

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) sama sekali tidak memaksa Malaysia akur secara membuta tuli, sekali gus menolak dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ia akan memaksa negara patuh secara mutlak terhadap dasar AS.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau menolak dakwaan bahawa Malaysia juga perlu mengambil tindakan yang sama sekiranya AS mengenakan sekatan atau langkah lain terhadap negara ketiga atas alasan keselamatan ekonomi atau keselamatan nasional.

Iklan
Iklan

Menurutnya, frasa-frasa utama seperti"mengikut undang-undang dan peraturan domestik" serta"dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak" jelas memberikan Malaysia ruang undang-undang dan autonomi diplomatik untuk mengurus sebarang tindakannya.

“Peruntukan tersebut dengan jelas menekankan bahawa sebarang tindakan Malaysia hanya terpakai untuk isu yang merupakan kebimbangan ekonomi bersama.

Iklan

“Sekiranya isu tersebut tidak menjejaskan kepentingan ekonomi Malaysia, kita tiada obligasi untuk mengambil tindakan atau sekatan yang sama seperti AS. Ini adalah komitmen berasaskan kebimbangan bersama, bukan kepatuhan mutlak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa Perjanjian ART 2025 mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang dikhuatiri akan memudaratkan Malaysia pada masa akan datang.

Iklan

Beliau turut mendakwa, perjanjian tersebut sarat dengan agenda penjajahan ekonomi yang boleh mengancam kemerdekaan serta kedaulatan negara, sekali gus mendesak kerajaan melaksanakan kajian semula terhadap ART 2025 dengan kadar segera.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Muhyiddin juga mendakwa peruntukan dalam Artikel 3.4 melarang Malaysia daripada mengenakan syarat pemindahan teknologi sebagai kaedah untuk menarik pelaburan dari AS.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Artikel 3.4 bertujuan untuk menghalang pemindahan teknologi secara paksa. Ia merupakan peruntukan standard yang lazim wujud dalam kebanyakan perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Malaysia.

“Tujuannya adalah untuk memastikan syarikat tidak dipaksa menyerahkan hak harta intelek (IP) yang berharga seperti rahsia perdagangan atau kod sumber kepada kerajaan sebagai syarat untuk melabur, menjual atau beroperasi di Malaysia,” katanya.

Namun begitu, Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa peruntukan tersebut memberikan pengecualian jelas, iaitu membenarkan kerajaan Malaysia sebagai pengawal selia untuk mengakses kod sumber, algoritma dan teknologi proprietari lain bagi tujuan pengawalseliaan dan pematuhan undang-undang secara sah.

Beliau juga menegaskan bahawa Artikel 5.2 mengenai Kawalan Eksport Strategik tidak menyebabkan Malaysia kehilangan kuasa atau autonomi sepenuhnya. Sebaliknya, peruntukan itu hanya menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam kawal selia perdagangan strategik, selagi ia selaras dengan undang-undang domestik Malaysia.

Tengku Zafrul turut memperjelas kekeliruan berhubung isu nadir bumi dan sekatan eksport, dengan menegaskan bahawa Malaysia masih mengekalkan dasar larangan eksport unsur nadir bumi (REE) dalam bentuk mentah.

“Dasar ini adalah untuk memastikan pembangunan industri hiliran tempatan. Ini bermakna nilai tambah, pekerjaan berkemahiran tinggi, dan teknologi pemprosesan mesti diwujudkan dan kekal di Malaysia.

“Kita tidak akan kembali menjadi negara yang sekadar menggali dan menjual bahan mentah dengan harga murah,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mengulangi pendirian bahawa Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, mengamalkan pendekatan whole-of-government, dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara dilindungi.

“Kerajaan juga tegas tidak berganjak daripada pendirian melibatkan isu-isu garis merah (red lines), khususnya berkaitan Dasar Bumiputera, Dasar Perolehan Kerajaan dan tuntutan liberalisasi ekuiti sepenuhnya dalam sektor strategik negara seperti tenaga dan telekomunikasi,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Perjanjian ART mengandungi klausa perlindungan yang menjamin kedaulatan negara, dan pelaksanaannya adalah berdasarkan kepentingan serta keselamatan ekonomi negara, selaras dengan undang-undang dan peraturan domestik.