IPOH – Perak mencatatkan sebanyak 3,266 unit rumah siap dibina masih belum terjual, berdasarkan laporan terbaharu Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, angka itu menunjukkan keperluan untuk menilai semula strategi penawaran dan permintaan pasaran hartanah di negeri ini.
Menurutnya, fenomena rumah tidak terjual bukan semata-mata disebabkan kekurangan minat pembeli, sebaliknya turut dipengaruhi pelbagai faktor seperti lokasi projek, harga yang tidak menepati kemampuan pasaran, serta isu kelulusan pinjaman perumahan.
"Kadangkala pembeli layak dari segi pendapatan, tetapi tidak mendapat kelulusan pinjaman bank menyebabkan proses jual beli tertangguh dan rumah itu dikira tidak terjual dalam statistik.
"Selain itu, ada projek berskala besar yang mengambil masa lebih panjang untuk dijual sepenuhnya. Jadi, data rumah tidak terjual ini tidak semestinya menunjukkan tiada permintaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Ekspo Hartanah Perak (MAPEX) 2025 di Ipoh Parade, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Perak, Ir Loh Ban Ho.
Sandrea berkata, kerajaan negeri kini menumpukan kepada penyelarasan dan pemadanan semula (matching) antara penawaran rumah oleh pemaju dengan keperluan sebenar penduduk di setiap daerah.
"Kita mahu pastikan ketika ada ramai yang ingin memiliki rumah, pada masa sama tidak berlaku lebihan rumah yang tidak terjual.
"Ini memerlukan koordinasi antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju," katanya.
Dalam pada itu, Sandrea berkata, sasaran pembinaan 57,000 unit rumah mampu milik yang dihasratkan kerajaan menjelang 2030 dilaksanakan berdasarkan unjuran pertumbuhan penduduk dan keperluan pembangunan semasa.
Namun katanya, mencapai sasaran itu bukan tugas mudah dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, GLC serta sektor swasta.
"LPHP (Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak) kini sedang membangunkan dashboard yang mengumpulkan data projek perumahan di seluruh negeri secara masa nyata.
"Melalui sistem ini, kita akan tahu berapa banyak projek yang sedang berjalan, jumlah unit dibina, projek sakit dan rumah siap. Data ini penting untuk membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat,” katanya.