TEMERLOH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 juta dan 20,000 pengunjung menerusi penganjuran Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya turut menyasarkan potensi pembiayaan bernilai RM4 juta sempena HPPK yang berlangsung di Lurah Semantan di sini bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Menurutnya, setakat hari pertama, sebanyak 7,830 pengunjung telah direkodkan hadir ke HPPK berkenaan.
"Namun demikian, kita berharap bukan sahaja jumlah sasaran pengunjung dapat dicapai, malah nilai jualan juga memuncak supaya dapat memberikan rezeki kepada usahawan yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Warga dan Agensi KUSKOP Pahang di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Dalam pada itu, Ewon memaklumkan bahawa agensi-agensi di bawah KUSKOP telah menyalurkan dana pembiayaan sebanyak RM425 juta kepada usahawan dan koperasi di Pahang dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Ujarnya, daripada jumlah tersebut, seramai 24,592 usahawan dan koperasi telah menerima pembiayaan berbentuk pinjaman dan geran.
Jelasnya, agensi terbabit termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, SME Bank, Bank Rakyat, Pernas, SME Corp, serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
"Seramai 674 usahawan telah menerima bimbingan dan latihan keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). SME Corp. juga telah melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan yang memberi manfaat kepada 2,205 usahawan.
"Dalam aspek koperasi di Pahang pula, sebanyak 56 koperasi baharu telah berjaya didaftarkan pada tahun ini," katanya.
Jelasnya, sebanyak 10 koperasi telah menerima pembiayaan berjumlah RM9.035 juta di bawah Tabung Modal Pusingan SKM, manakala sebanyak 18 koperasi turut diluluskan pembiayaan di bawah Bantuan Pembangunan Koperasi dengan nilai berjumlah RM545,643.
Tambahnya, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) juga telah melatih seramai 1,337 anggota koperasi menerusi 40 program bagi memperkasa pengurusan koperasi sepanjang tahun ini.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan, KUSKOP akan menerajui Keutamaan Penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
"Berdasarkan perangkaan terkini, sebanyak 42,607 pertubuhan PMKS telah direkodkan di negeri Pahang, dengan 75.7 peratus daripadanya merupakan usahawan mikro.
"Selain itu, terdapat 1,173 koperasi di negeri Pahang telah didaftarkan sehingga Disember 2024," tambahnya.