[VIDEO] Kenderaan asing tiada VEP berdepan saman, dilarang keluar Malaysia

Iklan

JOHOR BAHRU – Pemilik atau pemandu kenderaan asing, terutamanya dari Singapura, berdepan tindakan saman serta tidak dibenarkan keluar dari negara ini sekiranya gagal memiliki dan mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) mulai 15 November ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, tindakan tegas itu diambil setelah tempoh kelonggaran sejak pelaksanaan penggunaan VEP di pintu masuk Malaysia–Singapura dilaksanakan mulai 1 Julai lalu berakhir.

Iklan
Iklan

Kenderaan asing yang tidak mengaktifkan VEP berdepan saman dan tidak boleh meninggalkan negara ini.

“Mana-mana kenderaan persendirian individu atau syarikat yang tiada VEP, VEP tamat tempoh atau berstatus pradaftar akan dikenakan saman.

Iklan

“Mereka wajib menyelesaikan saman serta-merta dan jika masih tiada VEP, mereka tidak akan dibenarkan keluar dari negara ini.

“Bayaran saman ini boleh dibuat di semua kaunter JPJ, kaunter bergerak, pusat pendaftaran VEP di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar, atau secara dalam talian,” katanya.

Iklan

Aedy Fadly berkata demikian pada sidang akhbar sempena Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di Susur Keluar, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Cagar, di sini, pada Jumaat.

Tambah Aedy Fadly, sehingga Oktober lalu, sebanyak 303,183 tag RFID bagi kenderaan persendirian individu serta 31,643 bagi kenderaan syarikat telah dipasang.

Malah katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 55,486 kenderaan telah diperiksa dan 4,028 kompaun dikeluarkan terhadap kesalahan tiada VEP, membabitkan kutipan saman berjumlah RM1.2 juta selain sebanyak 1,355 notis peringatan turut dikeluarkan kepada pemilik kenderaan syarikat yang masih berstatus pradaftar.

“Penguatkuasaan penuh mulai 15 November ini akan memastikan hanya kenderaan asing yang berdaftar dan mempunyai tag RFID aktif dibenarkan menggunakan jalan di negara ini.

“Operasi ini tidak terhad di kawasan sempadan Johor Bahru sahaja, sebaliknya akan diperluaskan ke negeri lain seperti Melaka bagi mengesan kenderaan Singapura yang bergerak lebih jauh ke dalam negara.

“Jadi, pemilik kenderaan asing diingatkan supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan kesulitan ketika masuk atau keluar dari Malaysia,” katanya.