TASEK GELUGOR - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah van di Kampung Pokok Jenerih di sini pada petang Jumaat.
Mangsa, Mohammad Haziq Roslan, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke dalam parit berhampiran akibat impak kuat daripada perlanggaran yang berlaku sekitar jam 5.09 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor bergegas ke lokasi kejadian.
"Insiden melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace dan mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha Y16.
"Setibanya di lokasi, pasukan mendapati penunggang motosikal telah tercampak ke dalam parit. Mangsa berjaya diangkat daripada parit namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
John Sagun berkata, pemandu van tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.26 petang.